“Selesai isu bekalan air bersih.”
Itulah yang dinyatakan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah apabila beliau sendiri turun padang bagi meninjau isu bekalan air bersih di kawasan RPS Air Karah, Lenggong. Beliau menzahirkan rasa syukur kerana janji yang dibuat kepada penduduk akhirnya berjaya ditunaikan.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Perak yang telah meluluskan Projek Bekalan Air ini. Beliau juga memaklumkan bahawa peruntukan Ahli Parlimen Lenggong telah digunakan untuk membina beberapa kemudahan yang kini dalam proses pembinaan seperti lampu solar, Balai Sewang dan lain-lain.
Beliau berharap projek-projek ini akan memberikan manfaat kepada penduduk kerana kemudahan tersebut amat diperlukan oleh masyarakat setempat.
Masalah bekalan air bersih di RPS Air Karah, Lenggong kini telah berjaya diselesaikan melalui pelaksanaan Projek Bekalan Air Bawah Tanah atau Tegala Tiub dengan kedalaman lebih 60 meter. Selain itu, pembinaan Balai Sewang sebagai pusat kegiatan kebudayaan masyarakat Orang Asli Air Karah turut sedang dijalankan.
Usaha berterusan ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.



