Maritim Malaysia Laksana Peranan Dengan Baik Sejak 19 Tahun Lalu

February 15, 2024

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan baik dalam menjaga keselamatan perairan negara sejak penubuhannya 19 tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan bantuan Maritim Malaysia, empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat dijalankan dengan selamat.

“Melihat kepada kepentingan berkenaan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan Maritim Malaysia mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi.

“Dalam pada itu, ia juga untuk menyelenggara aset-aset sedia ada agar agensi ini dapat melaksanakan pengawasan dan operasi di Zon Maritim Malaysia dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) Maritim Malaysia di Kuantan pada Khamis.

Bersempena HUT19, tema ‘Maritim Perkasa Melestarikan Madani’ telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan agensi itu dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara seiring Enam Nilai Teras yang terkandung di dalam Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Mengulas lanjut tentang aset baharu Maritim Malaysia, Shamsul berkata, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) telah diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari lalu.

Katanya, selain itu, KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Maritim Malaysia turut diminta untuk meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan perairan negara kekal selamat daripada pelbagai ancaman jenayah.

Untuk rekod pada 2023, lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan Maritim Malaysia.

“Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira RM101.9 Juta.

“Bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat), Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 237 operasi melibatkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini,” katanya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/maritim-malaysia-laksana-peranan-dengan-baik-sejak-19-tahun-lalu-shamsul-anuar-458366

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help