Malaysia Sedia Perluas Kerjasama Ekstradisi Dengan Negara Asing

July 16, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa Malaysia telah menandatangani Treaty Ekstradisi dengan 11 buah negara di bawah platform ASEAN dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dalam perkara berkaitan ekstradisi dengan negara asing.

Beliau berkata demikian ketika menjawab empat soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tasek Gelugor di Kamar Khas, Parlimen Malaysia pada hari ini.

Menurut beliau, proses ekstradisi di Malaysia adalah tertakluk di bawah Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) dan Treaty Ekstradisi antara Malaysia dengan negara asing, dan kesemua kehendak peruntukan di bawah akta serta treaty berkenaan perlu dipenuhi sebelum sesuatu proses ekstradisi dapat dimulakan.

“Proses ini lazimnya merupakan proses yang panjang memandangkan ia melibatkan proses undang-undang antara dua negara dan turut melibatkan pihak mahkamah. Bagi memastikan proses ekstradisi berjalan lancar tanpa kelewatan tidak wajar, kesemua dokumentasi perundangan hendaklah dipatuhi sepenuhnya,” jelas beliau.

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menambah bahawa kesediaan Malaysia untuk berunding mengenai treaty ekstradisi dengan negara asing turut disampaikan secara konsisten dalam sesi kunjungan hormat serta platform mesyuarat antarabangsa yang dihadiri oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.

Kertas Siasatan Perlu Lengkap

Dalam menjawab soalan kedua, beliau menegaskan bahawa bagi memulakan proses ekstradisi terhadap mana-mana individu, suatu kertas siasatan mestilah lengkap dan pertuduhan di mahkamah perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Dalam masa yang sama, aspek teknikal dan perundangan yang lain juga perlu dijalankan, seperti mengenal pasti keberadaan individu berkenaan dengan maklumat yang sahih bagi membolehkan permintaan ekstradisi dikemukakan kepada negara berkaitan,” ujar beliau.

Makmal Forensik PDRM Bertaraf Antarabangsa

Menyentuh mengenai keupayaan teknologi forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Timbalan Menteri memaklumkan bahawa PDRM pada masa ini memiliki kelengkapan teknologi optimum untuk mengendalikan siasatan saintifik yang setanding dengan standard global.

Beliau menyatakan kompetensi PDRM merangkumi keupayaan melaksanakan analisis forensik digital secara menyeluruh terhadap pelbagai kes jenayah kompleks, termasuk kes berfaedah tinggi, bagi memastikan keutuhan bahan bukti digital sentiasa terpelihara demi menyokong sistem keadilan negara.

Kredibiliti Makmal Forensik PDRM, kata beliau, dibuktikan menerusi pengiktirafan global yang berprestij termasuk pensijilan MS/ISO 17025 bagi kecekapan makmal pengujian serta pensijilan IS/MS 27001 bagi sistem pengurusan keselamatan maklumat.

“Kualiti ini diperkukuhkan lagi dengan pelantikan beberapa pegawai Makmal Forensik PDRM untuk menganggotai jawatankuasa kerja di pelbagai peringkat termasuk di peringkat antarabangsa, sekali gus mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap kepakaran dan kewibawaan PDRM dalam bidang sains forensik,” tambah beliau.

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menegaskan bahawa pemantapan standard antarabangsa ini amat kritikal bagi memastikan institusi keadilan jenayah negara dapat berfungsi dengan telus, adil, dan konsisten demi memelihara ketertiban awam serta hak keseluruhan lapisan masyarakat tanpa sebarang bentuk diskriminasi.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help