BeritaMalaysia Penuhi Komitmen Sidang Kemuncak Bumi

May 4, 2021
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/04/179675384_4102988933056336_7091353844495115225_n.jpg

KUALA LUMPUR – Pelbagai usaha yang telah diambil oleh Malaysia dalam memenuhi komitmen semasa Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992 di Rio de Janeiro, Brazil.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-16 Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Forum on Forests – UNFF).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehingga tahun 2018, Malaysia mempunyai 55.3% atau 18.27 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok.

Malaysia telah memaklumkan di antara 2005-2018, litupan kawasan berhutan menunjukkan peningkatan 2.6% dan berdasarkan laporan World Resources Institute (WRI), Malaysia mencatatkan pengurangan kehilangan kawasan berhutan untuk tempoh empat tahun berturut-turut berikutan peningkatan dalam pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh Malaysia seperti Central Forest Spine (CFS), Heart of Borneo (HoB), Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan Forest Landscape Restoration (FLR).

Malaysia turut memaklumkan pencapaian di bawah pensijilan hutan menerusi Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) dan Forest Stewardship Council (FSC).

Di antara tahun 2010 hingga 2020, terdapat peningkatan 9.7% terhadap jumlah keluasan hutan yang mendapat pensijilan MTCS.

Katanya, sehingga kini, Malaysia mempunyai sejumlah 5.84 juta hektar kawasan hutan yang telah disijilkan.

Malaysia turut melaporkan tentang Dasar Perhutanan Malaysia yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri bersempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 bagi menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan negara.

Malaysia juga telah menekankan kepentingan akses kepada sumber kewangan, perkongsian teknologi dan pembangunan modal insan bagi mencapai pelaksanaan PHSB khususnya untuk negara-negara membangun dan menyumbang kepada pencapaian Global Forest Goals (GFG) di bawah United Nations Strategic Plan for Forests (UNSPF) 2017 – 2030.

Selain itu, Malaysia berpendirian bahawa laporan Global Forest Resources Assesment (FRA) sedia ada adalah mencukupi dan boleh dimanfaatkan untuk membekalkan maklumat dan analisis perhutanan di peringkat global.

Shamsul menambah, negara-negara tidak sewajarnya dibebankan dengan pelaporan baharu dan sokongan kewangan sedia ada seharusnya difokuskan kepada pengukuhan pelaksanaan PHSB.

Manakala di bawah agenda monitoring, assessment and reporting (MAR), Malaysia menegaskan kepentingan membangunkan keupayaan pengumpulan data agar dapat menambahbaik sistem maklumat perhutanan.

Bagi mengukuhkan MAR, Pertubuhan Makanan dan Agrikultur (FAO) sedang membangunkan set indikator pengurusan hutan global yang baharu.

Dalam hal ini, Malaysia menegaskan keperluan untuk diadakan sesi semakan dan rundingan ke atas indikator berkenaan sebelum ia dimuktamadkan. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2021/05/04/malaysia-penuhi-komitmen-sidang-kemuncak-bumi/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links