Majlis Ramah Mesra Bersama Warga RELA Negeri Melaka
MELAKA – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Melaka yang berlangsung di Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Melaka pada 3 Oktober 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) RELA, TKPjR Mahather bin Smoh, dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RELA, TKPjR Syamsul Badrin bin Mohsin.
Program tersebut menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan warga RELA, di samping memberi ruang untuk mendengar pandangan serta memahami keperluan anggota di lapangan.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga RELA atas dedikasi, semangat kesukarelawanan dan komitmen tinggi dalam membantu memelihara keamanan, ketenteraman awam dan kebajikan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa KDN akan terus memperkasakan RELA melalui peningkatan latihan, pembangunan kompetensi, penambahbaikan aspek kebajikan serta penglibatan yang lebih luas dalam pembangunan komuniti, agar pasukan ini kekal relevan dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
Sehubungan itu, setiap pegawai dan anggota RELA diingatkan agar sentiasa bertindak berlandaskan peraturan dan menjunjung tinggi integriti dalam melaksanakan tugas.

