Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kadet Kursus Sijil Asas Kemimigresenan Gred KP19, KP29 & KP41 Siri 3 Tahun 2023

December 9, 2023

– UCAPAN SAYA –

Alhamdulillah.

Saya melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat meraikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kadet Kursus Sijil Asas Keimigresenan Gred KP19, KP29 Dan KP41 Siri 3 Tahun 2023, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada hari ini.

Hari ini, pastinya akan memberikan makna yang lebih mendalam dan istimewa terutamanya kepada para kadet Pegawai Imigresen yang akan tamat latihan mereka.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada 435 orang pegawai yang terdiri daripada 2 orang Pegawai Gred KP41, 9 orang Pegawai Gred KP29 dan 424 orang Pegawai Gred KP19. Mereka mula berkursus mulai 2 November 2023 yang lalu dan secara rasminya tamat pada hari ini, 9 Disember 2023 setelah menjalani latihan selama dua bulan.

Semoga ilmu dan pengalaman di sepanjang kursus ini memberikan persediaan yang cukup untuk para kadet memulakan tugas.

Tahniah juga diucapkan kepada ibu bapa, penjaga, suami, isteri dan anak-anak kepada Pegawai Kadet yang hadir bersama pada hari ini untuk meraikan mereka yang tamat berkursus.

Saya juga dimaklumkan bahawa Pegawai-pegawai Kadet ini akan mula bertugas secara rasmi pada 11 Disember 2023, di mana majoriti penempatan pegawai-pegawai ini adalah bagi mengisi keperluan di pintu-pintu masuk utama negara seperti di KLIA 1 dan 2, Bangunan Sultan Iskandar, Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor. Manakala selebihnya akan diagihkan untuk mengisi kekosongan di di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya, JIM Sabah dan Sarawak. Dengan adanya penempatan ini, saya yakin isu kesesakan di pintu-pintu masuk utama akan dapat diatasi dengan lebih baik.

Dalam mencapai visi memastikan perkhidmatan imigresen bertaraf dunia menjelang 2025, pelbagai program telah diatur oleh Kerajaan. Pelan Liberalisasi Visa yang diperkenalkan bermula 1 Disember 2023 umpamanya, benar-benar mencabar keupayaan Jabatan Imigresen Malaysia untuk bertindak pantas merealisasikan hasrat Kerajaan dalam tempoh yang singkat. Pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan dalam pelan ini antaranya:

(a) Pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India;

(b) Pemberian kemudahan imigresen baharu iaitu Pas Lawatan Sosial Graduan selama 12 bulan untuk pelajar antarabangsa yang menamatkan pengajian di Malaysia;

(c) Pemberian kemudahan tujuh (7) hari Visa Transit Umrah;

(d) Pemberian kemudahan Multiple-Entry-Visa (MEV); dan

(e) Penambahbaikan tempoh sah laku visa dan tempoh kelayakan Pas Lawatan Sosial.

Kesemua inisiatif ini merupakan inisiatif baharu Kerajaan Madani dalam usaha memperkasakan ekonomi negara tetapi dalam masa yang sama berusaha memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus diperkasa.

Justeru, harapan besar negara kini terletak di bahu Pegawai yang baru tamat latihan ini untuk merealisasikan hasrat ini.

Setiap pegawai Imigresen bertanggungjawab menghayati dan melaksanakan sepenuhnya slogan JIM iaitu Integriti, Profesional, Mesra. Pegawai Imigresen perlu menampung amanah rakyat yang berat dalam usaha merealisasikan perkhidmatan imigresen bertaraf dunia serta menjadikan Jabatan Imigresen Malaysia sebagai jabatan yang berdiri megah di persada antarabangsa.

Dalam hubungan berkaitan, antara cabaran utama pegawai-pegawai JIM adalah apabila dikatakan sering terdedah dengan isu-isu integriti. Sebagai pegawai baru yang masih segar, suka saya mengingatkan semua supaya menjaga integriti ke tahap yang maksimum dan mengelak daripada terlibat dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Sebagai salah satu agensi penguatkuasaan yang besar, setiap pegawai Imigresen perlu cekap dan pantas melaksanakan kerja dan mempunyai ‘sense of urgency’ supaya dapat mengenalpasti sesuatu perkara itu adalah penting dan bertindak segera untuk menyelesaikannya. Kesegeraan bertindak mendorong untuk mengamalkan sikap proaktif dalam menangani sesuatu perkara.

Selaras dengan kepesatan perkembangan teknologi digital, AI, IoT dan sebagainya, ekspektasi pelanggan dalam mendapatkan perkhidmatan juga semakin tinggi. Pegawai-pegawai Imigresen perlu sentiasa pantas dan cekap dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Harus diingat, perkhidmatan imigresen berkualiti secara tidak langsung akan menjadi daya tarikan kepada pelabur asing dan bertindak sebagai pemangkin (enabler) kepada aktiviti pembangunan ekonomi negara yang pada akhirnya akan memberikan manfaat besar kepada rakyat keseluruhannya.

Suka saya nyatakan, Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited dalam menjaga isu kebajikan pegawai-pegawai Imigresen terutamanya yang bertugas di pintu masuk utama negara seperti di KLIA, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan juga Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru. Sebagai contohnya, pihak Kementerian menitikberatkan tempat kerja yang selesa kerana ia adalah asas kepada peningkatan produktiviti dan keberkesanan pegawai dalam menjalankan tugas mereka sehari-hari. Dengan penyediaan persekitaran yang kondusif, para pegawai adalah diharapkan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat dan negara kita yang tercinta ini.

Sesungguhnya kejayaan kadet-kadet pada hari ini turut diraikan bersama keluarga tersayang yang saya percaya tidak putus-putus berdoa untuk kejayaan semua. Pengorbanan keluarga terutamanya kedua ibu bapa jangan dilupakan kerana merekalah kunci kepada kejayaan kita semua. Demi mereka, laksanakanlah tugas dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan berintegriti.

Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua kadet Pegawai Imigresen yang telah tamat latihan pada hari ini dan tahniah juga diucapkan kepada YBhg. Dato’ Ruslin bin Jusoh, Ketua Pengarah Imigresen dan Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di atas penganjuran majlis ini. Adalah menjadi harapan saya agar seluruh warga JIM terus dapat meningkatkan kecemerlangan dalam tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan dan kesejahteraan negara secara keseluruhannya.

YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN)
9 Disember 2023

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help