SeptemberMajlis Perasmian Telaga Tiub Dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas

September 13, 2020

1. Pertama sekali, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan, kerana atas berkat dan izinnya, kita dapat berkumpul bersama-sama pada hari, ini untuk menjayakan Majlis Perasmian Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Kampung Kulambai yang telah dibangunkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah (JMG Sabah).

2. Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas peranan dan tanggungjawab kementerian, saya berasa amat berbesar hati dan merakamkan berbanyak terima kasih,kepada pihak penganjur khususnya Jabatan Mineral dan Geosains Sabah, atas kesudian menjemput saya untuk menyempurnakan majlis pada pagi ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

3. Saya difahamkan bahawa telaga dan sistem penapisan yang dibina di Kampung Kulambai ini adalah atas inisiatif Pejabat Daerah Kota Belud, melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah (JMG Sabah), demi untuk membantu rakyat di kawasan-kawasan yang memerlukan air, terutamanya kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air semasa musim kemarau dan musim tengkujuh, Saya juga difahamkan bahawa pembinaan telaga ini telah dimulakan pada April 2019 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2019 dan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 1,700 penduduk Kampung ini.

4. Kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM75,000 untuk menampung kos kerja-kerja kajian potensi sumber air bawah tanah, membina telaga tiub dan membangunkan sistem penapisan di Kg. Kulambai. Kita berharap, dengan keupayaan luahan sebanyak 72,000 liter sehari, ianya akan dapat membantu penduduk di sekitar Kg Kulambai ini untuk mendapatkan air bersih.

5. Ini adalah antara usaha kerajaan untuk menyediakan bekalan air alternatif luar bandar kepada penduduk kampung yang sering menghadapi masalah air. Kita berharap JMG akan meneruskan usaha murni ini untuk membantu menyelesaikan masalah air terutamanya di kawasan luar bandar. Saya juga difahamkan bahawa JMG Sabah telah mengenalpasti beberapa lokasi dalam daerah Kota Belud, Beaufort dan Kota Marudu melaksanakan pembinaan telaga dan sistem penapisan pada tahun ini dan tahun depan. Dan kerajaan pada dasarnya akan sentiasa menyokong semua usaha yang dapat memberikan kesejahteraan rakyat seperti memberikan bekalan air yang mencukupi.

Tuan-tuan dan Puan-Puan yang dihormati

6. Kerajaan persekutuan, melalui Jabatan Mineral dan Geosains Sabah, telah memperuntukkan kira-kira RM2.4 juta pada tahun ini, untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah di seluruh Sabah. Antara projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah itu ialah:

i. Projek Penilaian Rezab Air Tanah di Lembangan Kedamaian (Kota Belud),
ii. Projek Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih di beberapa daerah,
iii. Projek Penggunaan Air Tanah Sebagai Sumber Air di Loji-loji Rawatan Air yang menghadapi kekurangan sumber air dan
iv. Program Pencegahan kebakaran dan pengurusan Tanah Gambut di daerah Beaufort dan Kuala Penyu bersama Jabatan Alam sekitar.

7. Dalam Rancangan Malaysia ke11 (RMK-11) iaitu, sejak 2016 sehingga kini, JMG Sabah di bawah Projek Bekalan Air Bersih di Kawasan Bermasalah Air telah membina telaga tiub dan sistem penapisan di beberapa kawasan yang menghadapi masalah bekalan air di seluruh Sabah. Secara keseluruhannya ia melibatkan kos lebih kurang satu juta ringgit. Selain daripada Kota Belud, daerah lain seperti Kota Marudu, Ranau, Tenom dan Beaufort juga mendapat manfaat daripada projek ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan

8. Pihak kementerian sedia maklum bahawa, kejadian gempa bumi Kinabalu pada tahun 2015, telah menyebabkan penduduk di Kota Belud sering menghadapi masalah air akibat air sungai yang selalu berkelodak apabila musim hujan dan menyukarkan proses penapisan dan perawatan. Oleh sebab itu, kerajaan telah meluluskan projek pembangunan yang berkaitan dengan usaha menggunakan sumber air bawah tanah sebagai sumber bekalan airalternatif, dengan harapan agar penduduk yang terkesan akan mendapat manfaatnya.

9. Saya sekali lagi amat menghargai sumbangan pengetahuan dan kepakaran yang telah diberikan oleh kakitangan JMG Malaysia amnya dan JMG Sabah khususnya. Kerana melalui kepakaran dan pengetahuan kakitangan JMG, kita dapat menggunakan pelbagai sumber dalam bumi ini untuk kesejahteraan semua.

10. Pihak Kementerian juga tiada halangan, dan akan sentiasa menyokong usaha-usaha atau cadangan-cadangan yang bermanfaat kepada rakyat, seperti cadangan Pembinaan Muzium Geologi Malaysia di Kota Kinabalu, dengan sedikit pengubahsuaian kepada struktur bangunan JMG yang sedia ada kelak.

11. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak JMG, di atas undangan ini. Syabas dan tahnian saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis pada pagi ini. Semoga kita semua akan terus bersama menggembleng tenaga dan berusaha dalam membangun dan memajukan negeri kita terutamanya menyediakan kemudahan asas di kawasan luar bandar.

12. Dengan lafaz bismillahirahmanirahhim..saya dengan sukacitanya merasmikan Telaga Tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas di Kampung Kulambai Kota Belud ini.

Sekian, Terima Kasih
#ketsa #lenggong

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links