Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO Malaysia 2026
KUALA LUMPUR – Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 telah berlangsung pada 11 September 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), disaksikan seramai 2,922 perwakilan dari seluruh negara.
Perasmian bermula jam 8.30 pagi dengan perarakan masuk Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, diiringi pembawa Al-Quran, Keris Pusaka Melayu, Buku Perlembagaan UMNO, Jalur Gemilang, Sang Saka Bangsa dan Wasiat Perjuangan UMNO sebagai simbolik perjuangan parti.
Dalam Ucapan Dasar yang menjadi tumpuan, Ahmad Zahid menyeru agar PRU16 diadakan segera sebagai detik penentu UMNO dan Barisan Nasional meraih semula mandat menerajui negara, sambil menegaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bukan bermakna menyerahkan prinsip perjuangan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula menegaskan UMNO tidak akan lemah meskipun berdepan pelbagai tekanan, manakala Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru ahli parti membina kekuatan dalaman tanpa bergantung kepada ihsan parti lain.
Turut hadir ialah barisan Ahli MKT UMNO termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah. PAU 2026 yang berlangsung empat hari (9-12 September) turut menyaksikan kehadiran perwakilan jemputan PAS, dengan jumlah keseluruhan 6,401 perwakilan dijangka hadir.

