Majlis Penyerahan Zakat Wakalah KDN Dengan Kerjasama PBLT Sdn Bhd & PDRM

July 20, 2023

MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN

PENDAHULUAN
Alhamdulillah, dengan limpah dan rahmat-Nya, diizinkan kita berhimpun di sini untuk meraikan Majlis Penyerahan Zakat Wakalah Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama PBLT Sdn Bhd dan PDRM.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program pada petang ini, terutamanya PDRM dan terima kasih jua kepada pihak PBLT Sdn. Bhd. di atas sumbangan zakat yang dihulurkan. Saya amat berbesar hati untuk bersama-sama di majlis ini dan menghulurkan sumbangan zakat kepada warga PDRM.

PERANAN PDRM
Peranan KDN serta Jabatan dan Agensi di bawah KDN amat besar dalam menyokong dan memastikan agenda negara tercapai. Tanpa negara yang aman dan selamat, ekonomi negara amat sukar untuk berkembang dan segala agenda negara sukar untuk dicapai.

PDRM sebagai salah satu agensi terbesar di bawah KDN memainkan peranan yang amat penting dalam mengekang perlakuan jenayah dan seterusnya memastikan keadaan dalam negara kekal aman dan sejahtera. Pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh KDN bagi meningkatkan rasa selamat rakyat. Kes jenayah indeks sehingga Jun 2023 adalah pada tahap 73 kes bagi setiap 100 ribu penduduk jauh di bawah sasaran iaitu 242 kes bagi setiap 100 ribu penduduk untuk tahun 2023.

KEBAJIKAN
Usaha yang dilaksanakan oleh agensi keselamatan ini amat besar dan Kerajaan amat prihatin dalam memastikan kebajikan anggota keselamatan terjaga. Pada tahun 2023, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 138 juta di bawah Rolling Plan ke-3 RMKe-12 bagi projek penyelenggaraan kuarters dan premis PDRM seluruh negara.

PERUNTUKAN TAMBAHAN OLEH PERDANA MENTERI MALAYSIA
YAB Perdana Menteri pada 15 Julai 2023 di Kulim, Kedah juga telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk penyelengaraan kemudahan agensi di bawah KDN yang termasuk RM45 juta bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan infrastruktur serta perolehan peralatan bagi Pasukan Gerakan Am (PGA) seluruh negara dan RM50 juta bagi penyelenggaraan balai polis dan kuarters PDRM.

MOTOSIKAL
Kerajaan juga telah bersetuju meluluskan 200 buah motosikal berkuasa tinggi bagi penugasan kawalan keselamatan dan mengiring. Keseluruhan kos penyewaan untuk tujuan ini adalah sebanyak RM84 Juta bagi tempoh 5 tahun.

ELAUN DAN PERJAWATAN
Kerajaan juga sedang dalam kajian untuk menambah baik elaun agensi keselamatan. Pada ketika ini, sebanyak 35 jenis elaun dan bayaran insentif sedang dinikmati oleh anggota PDRM dan terdapat lima lagi elaun sedang dalam kajian. Bagi permohonan pertambahan perjawatan, sebanyak tujuh cadangan pengukuhan perjawatan sedang dalam pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Semua inisiatif dan kelulusan peruntukan tambahan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan PDRM di samping menjaga kebajikan anggota. Ini selaras dgn prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kepada nilai kesejahteraan dan ihsan bagi memastikan semua lapisan masyarakat tidak terabai.

PEMBERIAN ZAKAT WAKALAH
Kerajaan akan terus proaktif untuk menjaga kebajikan seluruh penjawat awam terutamanya anggota keselamatan yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara. Pihak Kerajaan amat berterima kasih juga kepada pihak swasta yang turut prihatin dalam membantu meringankan beban penjawat awam melalui pemberian sumbangan dalam pelbagai bentuk.

Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada warga PBLT SDN BHD yang tidak mengabaikan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan pemberian zakat wakalah ini untuk menyantuni golongan yang memerlukan bantuan.

Saya difahamkan PBLT SDN BHD telah secara aktif menjalankan program zakat wakalah di seluruh negara bagi menyantuni anggota-anggota PDRM sama ada yang sedang berkhidmat ataupun yang telah bersara dan tidak lupa juga masyarakat setempat. Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pembayar zakat dengan anggota masyarakat, bahkan ianya adalah satu tuntutan dalam Rukun Islam.

Pemberian zakat wakalah ini merupakan inisiatif yg bertepatan dengan prinsip ihsan dlm Malaysia MADANI. Ini kerana tanggungjawab sosial kepada masyarakat ini merupakan tanggungjawab bersama yang bukan sahaja diletakkan di bahu kerajaan. Peranan pihak-pihak lain seperti PBLT Sdn. Bhd. ini sangat dialu-alukan dalam memastikan matlamat Malaysa MADANI menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan isu kemiskinan tegar dapat dinoktahkan. Terima kasih kepada pihak PBLT Sdn. Bhd.

Penyerahan zakat hari ini akan dibuat kepada 200 orang penerima zakat kurang berkemampuan daripada kalangan warga PDRM Negeri Sembilan. Semoga dengan pengagihan zakat yang dibuat ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung seterusnya dapat membentuk masyarakat yang prihatin.

PENUTUP
Sebelum saya akhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program pada petang ini. Semoga dengan semangat, kejituan hasrat dan kesungguhan azam semua pihak dalam menjayakan majlis ini mendapatkan keberkatan Ilahi.

YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN)
20 Julai 2023

Majlis turut dihadiri :

Yang Berbahagia Datuk Haji Ruji Bin Haji Ubi
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

Yang Dihormati DIG Datuk Seri Ayob Khan bin Mydin Pitchay Timbalan Ketua Polis Negara

Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri (Dr) Mazlan bin Lazim
Pengerusi PBLT Sdn. Bhd

Yang Dihormati DCP Dato’ Ahmad Dzaffir bin Mohd Yussof
Ketua Polis Negeri Sembilan,

Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan PDRM dan

Penerima Sumbangan Wakalah Agihan Zakat.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help