Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Imigresen Malaysia

May 14, 2024

PUTRAJAYA – YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertempat di Dewan Puspanitapuri, Putrajaya hari ini dengan diiringi oleh YBhg. Dato’ Ruslin bin Jusoh, Ketua Pengarah Imigresen. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan penghargaan Kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai.

Bagi menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada warganya, JIM telah melaksanakan penganugerahan APC kepada 1209 penerima daripada seluruh negara. Dalam majlis hari ini, seramai 245 penerima APC daripada Ibu Pejabat JIM, JIM Pahang, JIM Terengganu, JIM Kelantan dan Akademi Imigresen Malaysia diraikan, manakala penerima daripada negeri-negeri lain akan diraikan dalam majlis berasingan mengikut zon.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2023 JIM telah mencapai beberapa kejayaan di peringkat nasional antaranya Kategori Emas Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2023, Anugerah 100% Penggunaan Pembayaran Digital, dan Malaysia Cyber Security Award 2023. Selain itu, Jabatan ini telah berjaya meningkatkan kecekapannya dan ini terbukti melalui kutipan hasil negara bagi sepanjang tempoh tahun 2023 sebanyak RM5.6 bilion yang mana telah melepasi sasaran yang ditetapkan sebanyak RM4.5 bilion.

JIM juga telah melaksanakan transformasi digitalisasi perkhidmatan imigresen, seperti pembukaan pejabat pasport yang melaksanakan 100% urusniaga dalam talian, 100% urusniaga pas ekspatriat secara dalam talian serta pengeluaran e-Pass dan e-PLKS bagi pekerja asing. Kejayaan demi kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen kerja dan kecemerlangan yang tinggi oleh warga JIM.

Jabatan Imigresen Malaysia terus komited dalam meningkatkan kecekapan dengan memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan penguatkuasaan yang berkesan tanpa berkompromi dari aspek keselamatan dan kesejahteraan negara.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help