Majlis Penutup Kempen BN Di Felda Kepis
KUALA PILAH – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menzahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu kembali memimpin Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang berlangsung esok.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu hadir pada majlis penutup kempen BN di Felda Kepis, DUN Senaling malam tadi dalam suasana yang disifatkan meriah dan penuh semangat.
“Semoga Allah berikan kemenangan kepada BN. Semoga BN kembali memimpin Negeri Sembilan,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu dalam hantaran media sosialnya semalam.
Majlis Grand Finale yang berlangsung pada jam 9.00 malam itu menjadi acara penutup kempen terakhir bagi BN sebelum pengundian diadakan, dengan kehadiran jentera parti dan penyokong setia di kawasan Felda tersebut.
PRN Ke-16 Negeri Sembilan menyaksikan BN berusaha merampas semula kuasa pentadbiran negeri yang pernah menjadi kubu kuat gabungan itu.

