Majlis Pelepasan Ihsan Madani & Penyampaian Watikah Lembaga Hakim Pelawat Penjara Negeri Sembilan

February 7, 2024

UCAPAN PERASMIAN MAJLIS PELEPASAN IHSAN MADANI & PENYAMPAIAN WATIKAH LEMBAGA HAKIM PELAWAT PENJARA NEGERI SEMBILAN

Oleh :
YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani
Salutasi
*akan dikemaskini senarai esok pagi

Kata Aluan
1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhana Wata’alla kerana dengan keizinan-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama di dalam Program ‘Pelepasan Ihsan Madani’ yang diadakan bersempena sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina, yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

2. Pertamanya, saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia yang telah memberikan saya peluang untuk bersama-sama meraikan satu inisiatif yang cukup bermakna kepada masyarakat Malaysia iaitu aplikasi inisiatif keadilan restorative ataupun lebih dikenali sebagai “restorative justice”. Keadilan Restoratif “Restorative Justice”

3. Terma keadilan restoratif atau restorative justice adalah merupakan satu pendekatan yang telah dilaksanakan oleh kebanyakkan negara maju seluruh dunia bagi menggantikan sistem punitive justice. Walaupun Keadilan Restoratif ini kelihatan asing dan masih janggal dalam masyarakat Malaysia namun sebenarnya telah banyak kajian perbandingan yang dibuat mendapati sistem ini sebenarnya telah lama dipraktikkan dalam masyarakat dahulu ataupun lebih dikenali sebagai undang-undang adat.

4. Tuan-tuan dan puan-puan mesti pernah ada yang belum pernah mendengar terma ini, namun sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia serta Kemeneterian Dalam Negeri kerana telah berupaya melaksanakan salah satu dari inisiatif dibawah keadilan restoratif sebagaimana digariskan dalam garis panduan pelaksanaan keadilan restoratif oleh United Nation Office on Drugs and Crime iaitu inisiatif selepas hukuman dijatuhkan oleh mahkamah. Mungkin sudah tiba masanya kita akan cuba meneroka pelaksanaan keadilan restoratif sebelum dan semasa hukuman dijatuhkan pula kerana kelihatan program sebegini mampu memberi impak yang besar dalam pembentukan masyarakat Madani sebagaimana dicitakan oleh Kerajaan.

Program Pemulihan Dalam Komuniti “community correction”

5. Perkembangan pelaksanaan program pemulihan dalam komuniti atau community correction telah melalui perjalanan yang mengikut beberapa fasa dan peringkat mengikut kesesuaian selari dengan hasrat dan matlamat keadilan restorative yang mementingkan keadilan 3 golongan utama iaitu (1) mangsa, (2) masyarakat dan (3) pesalah. Bermula pada tahun 2004 lagi Jabatan telah memperkenalkan Program Pemulihan Insan, diikuti dengan pelaksanaan program PAROL pada tahun 2008, gerakan penjara sejahtera pada tahun 2012, pelancaran “prison reform” pada tahun 2018 yang akhirnya membawa kepada pengenalan program pembebasan banduan secara lesen atau PBSL pada tahun 2020 kepada pesalah yang disabitkan dengan hukuman 1 tahun kebawah. Ianya tidak hanya terhenti disitu apabila Jabatan Penjara sekali lagi mengorak langkah dengan melancarkan Pusat Pembinaan Tamadun Kemanusiaan ataupun Civilized Humane Culture Development Centre (CHCDC) pada 25 Julai 2022 sekaligus merancakkan lagi program pemulihan dalam komuniti yang akhirnya berdasarkan perkembangan positif ini telah memberi keyakinan kepada Kerajaan untuk meluluskan pemanjangan pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen kepada pesalah yang dijatuhi hukuman penjara 3 tahun dan kebawah. Terbaru Jabatan Penjara telah diluluskan pelaksanaan penahanan rumah “home detention” pada Januari lepas dan sudah pastinya saya yakin Jabatan Penjara sedang dalam rangka persediaan melaksanakan inisiatif ini dalam masa terdekat.

6. Saya dimaklumkan pada tahun 2023 sahaja sejumlah 15,138 pesalah telah diluluskan oleh jawatankuasa untuk mengikuti program PBSL. Walaupun jumlah dan angka ini dilihat kecil jika dibandingkan dengan jumlah populasi pesalah, namun secara tidak langsung ianya memberi impak kepada pengurangan kadar residivis dalam kalangan pesalah apabila Jabatan Penjara telah berjaya mengurangkan 1 peratus kadar residivis pada tahun 2023 iaitu berada pada 17.06% berbanding 18.06% pada tahun sebelumnya. Saya juga turut dimaklumkan pencapaian terbaik bagi pengurangan residivis adalah dalam kalangan mereka yang melalui program dalam komuniti iaitu 0.28%. satu pencapaian yang cukup membuktikan program community correction seperti PBSL ini amat berkesan dalam membantu proses reintegrasi.

7. Untuk makluman semua kadar pengurangan salahlaku jenayah atau lebih dikenali sebagai residivis sebanyak 1 peratus ini jika ditukar kepada angka sebenar, memberi indikator bahawa sejumlah 3,600 pesalah telah berjaya ditempatkan semula ke dalam masyarakat, ianya juga menunjukkan, pencapaian ini membolehkan sekurang-kurangnya 10,800 ahli masyarakat mendapat kelegaan hasil dari kepulihan ahli keluarga mereka yang pernah melakukan kesalahan. Jumlah ini adalah dengan mengambilkira dari 3 ahli keluarga utama iaitu (Ibu, Bapa dan Pasangan hidup).

8. Selain itu juga, pencapaian ini turut memberi kelegaan kepada kita yang juga merupakan ahli masyarakat dari menjadi mangsa jenayah atau “future victim”. Tahniah, syabas dan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri, Semua syarikat-syarikat dan ahli keluarga yang terlibat dalam menjayakan program ini. Sesungguhnya usaha mendokong pelaksanaan program sebegini adalah wajar dalam memastikan masyarakat terlindung dari menjadi “future victim”.

9. Hari ini saya dimaklumkan sejumlah 80 orang pesalah akan menjalani Pembebasan Secara Lesen sempena perayaan tahun baru cina. Kepada para peserta PBSL, sebagaimana pengalaman yang pernah dilalui oleh rakan-rakan terdahulu seperti dalam montaj pelancaran tadi, ambillah kesempatan ini untuk kembali semula kepangkuan ahli keluarga dan masyarakat anda dengan memulakan episod baharu dalam kehidupan. Sesungguhnya kebahagian dan keindahan dunia nyata lebih berhak dinikmati oleh anda semua berbanding kehidupan dalam belenggu jenayah yang sudah pastinya merupakan neraka dunia bagi semua.

Pelantikan Lembaga Hakim Pelawat

10. Selain itu juga, pada hari ini kita akan melaksanakan sesi penyampaian watikah Lembaga Hakim Pelawat Penjara bagi sesi 2023/2024 bagi Negeri Sembilan. Sejumlah 13 orang ahli Lembaga Pelawat telah dilantik bagi melaksanakan tugas dan peranan sebagaimana digariskan oleh undang-undang. Salah satu tugas yang melibatkan Lembaga Pelawat adalah menganggotai jawatankuasa penilaian PBSL diperingkat Negeri. Inisiatif ini sudah pastinya akan membantu dalam proses penempatan dan sokongan ini amatlah diperlukan dalam proses pemulihan dalam komuniti. Bagi pihak Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lembaga Pelawat serta Kerajaan Negeri yang turut sama dalam membantu pelaksanaan program PBSL ini.

Pelaksanaan PBSL adalah contoh inisiatif Malaysia Madani

11. Untuk makluman semua, pelaksanaan PBSL adalah merupakan contoh jelmaan perkara yang termaktub dalam 6 asas Malaysia Madani. Keseluruhan pelaksanaanya bermatlamat untuk mewujudkan masyarakat yang mampan dan sejahtera dengan adoptasi daya cipta yang pelbagai untuk mewujudkan masyarakat yang saling hormat menghormati dan saling menyakini antara satu sama lain dan sudah pastinya lahirnya ihsan dalam kalangan masyarakat. Insya allah sama-samalah kita berusaha membina masyarakat madani sebagaimana diimpikan oleh semua pihak.

12. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat tahun baru cina kepada semua masyarakat tionghua. Semoga tahun Naga ini akan memberikan lebih banyak rezeki dan kejayaan dalam hidup. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini termasuklah Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia dan tidak lupa juga pihak MCPF yang sudi bersama-sama kita pada majlis yang penuh bermakna ini.

Ucapan Perasmian

13. Akhir kata, saya dengan dengan lafaz BISMILLAH HIRRAHMA NIRRAHIM merasmikan `Pelepasan Ihsan Madani sempena Tahun Baru Cina bagi tahun 2024’. Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help