Majlis Pelancongan Lenggong Perhebat Promosi Antarabangsa Di Paris
PARIS – Usaha memperkenalkan Lenggong ke peringkat antarabangsa terus diperkukuh apabila YAB Menteri Besar Perak turut menyertai sesi perbincangan bersama Majlis Pelancongan Lenggong di Pejabat Tourism Malaysia, Paris.
Menurut YB Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada strategi memperhebat promosi pelancongan Lenggong UNESCO Global Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus memperluaskan daya tarikan pelancongan Negeri Perak di mata dunia.
Beliau memaklumkan, langkah promosi ini dilaksanakan selepas satu perbincangan diadakan antara Majlis Pelancongan Lenggong yang dipengerusikannya bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, dengan hasrat menjadikan Lenggong lebih dikenali dan dikunjungi pelancong antarabangsa.
“Kita mahu Lenggong terkenal dan dikunjungi pelancong antarabangsa. Ini akan memberi impak kepada kegiatan ekonomi di kawasan Lenggong Geopark khususnya, serta Perak dan Malaysia amnya,” katanya.
Dalam sesi promosi itu, pelbagai bahan dan maklumat berkaitan kawasan dan lokasi menarik di Lenggong dipamerkan untuk rujukan pelawat. Maklumat tambahan turut disediakan melalui QR code bagi memudahkan pelancong mendapatkan informasi lanjut.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Badan Pengurusan Lenggong Geopark. Hadir bersama dalam usaha mempromosi Lenggong ialah Pegawai Daerah Hulu Perak, Yang Dipertua serta Setiausaha Majlis Daerah Lenggong.
Urusan dan perbincangan bersama Tourism Malaysia di Paris telah diselaraskan serta dilaksanakan oleh pegawai yang terlibat, iaitu YBhg Datuk Dazma Shah Daud, Sdr Mohamad Solihin Majid dan Sdr Ismadi.

