Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Negeri Perak Secara Kerjasama Awam Swasta

January 29, 2021

1. Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Negeri Perak secara Kerjasama Awam Swasta telah ditandatangani pada hari ini oleh YBhg. Datuk Zurinah binti Pawanteh, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang mewakili Kerajaan Persekutuan, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mewakili Kerajaan Negeri Perak dan Tuan Syed Azmin Syed Nor, Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd. selaku syarikat konsesi bagi projek ini. Majlis tersebut telah disaksikan oleh YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YAB Dato’ Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan En. Nigel Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Tegap Sdn. Bhd. Majlis telah diadakan secara maya di mana ketiga-tiga pihak berada di lokasi masing-masing.

2. Sistem e-Tanah merupakan projek oleh Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sistem pengurusan dan pentadbiran tanah yang bersepadu di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Pembangunan sistem di bawah inisiatif Kerjasama Awam Swasta ini juga seiring dengan usaha Kerajaan ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

3. Projek perintis sistem ini telah dilaksanakan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Jun 2017 dan telah terbukti dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan urusan tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini digambarkan melalui kedudukan negara dalam Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh World Bank di mana pada tahun 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2019.

4. Pelaksanaan peluasan Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta ke pentadbiran tanah negeri-negeri ini merupakan satu bentuk kolaborasi tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta. Projek Sistem e-Tanah Negeri Perak merupakan projek kedua yang telah berjaya disiapkan sepenuhnya selepas kejayaan pelaksanaan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

5. Bermula dengan kejayaan pelaksanaan secara rintis Sistem e-Tanah di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2017, kini peluasan Sistem e-Tanah ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah dan Kelantan akan diteruskan dan proses kajian awal sedang berjalan.

6. Sistem e-Tanah Negeri Perak ini dijangka akan Go-Live pada 11 Februari 2021 dan akan digunapakai oleh semua pentadbiran tanah negeri bermula pada tarikh tersebut. Melalui Sistem e-Tanah ini, orang awam yang berurusan di pentadbiran tanah Negeri Perak akan dapat menikmati urusan transaksi tanah yang lebih lancar, telus, efektif dan mesra rakyat.

7. Penularan wabak Covid-19 secara tidak langsung menuntut perubahan kepada norma kerja harian terutama perkhidmatan yang terlibat secara langsung dengan rakyat. Justeru itu, pelaksanaan Sistem e-Tanah ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa yang menggalakkan urusan secara atas talian dan mengurangkan keperluan berurusan di kaunter secara bersemuka.

8. Kementerian ini sentiasa komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di pentadbiran tanah sentiasa ditambah baik seiring dengan perkembangan semasa. Ini juga merupakan satu lagi trajektori baru dalam pendigitalan urusan pentadbiran Kerajaan secara keseluruhannya.

YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR HJ NASARAH
29 Januari 2021

#KeTSA #lenggong #gerik #SayangiLenggong #geopark #teamDSAN #UMNO

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help