Majlis Bacaan Yasin & Solat Hajat Menjelang SPM
LENGGONG – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah mengiringi Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad ke Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat yang berlangsung di Surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad, Lenggong.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta ibu bapa dari dua buah sekolah, iaitu SMK Dato Ahmad Lenggong dan SMK Tan Sri Abdul Aziz Yeop.
Program ini dianjurkan sebagai usaha memberikan persediaan rohani kepada para calon menjelang peperiksaan SPM, selain memohon kemudahan, kelancaran dan kejayaan mereka dalam menghadapi peperiksaan tersebut.
Kehadiran pimpinan kerajaan negeri bersama wakil rakyat ke majlis tersebut mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di daerah Lenggong, di samping mengukuhkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat bagi memohon keberkatan serta kesejahteraan seluruh warga kedua-dua buah sekolah.
Para calon SPM turut didoakan agar terus berusaha dengan gigih dan mencapai keputusan yang cemerlang, sekali gus mengharumkan nama sekolah serta daerah Lenggong.

