LENGGONG – Usaha mempromosikan Lenggong UNESCO Global Geopark melalui platform sukan akan diperkukuh menerusi penganjuran kejohanan bola sepak di daerah itu bermula 30 Mei 2026.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, antara program utama yang dirancang ialah penganjuran Lenggong Geopark Football League (Terbuka Malaysia) bagi merebut Piala Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Menurut beliau, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai iaitu RM25,000 kepada juara dan RM15,000 kepada naib juara, selain pelbagai hadiah menarik lain. Kejohanan berkenaan turut dibuka kepada kelab bola sepak dari seluruh negara, manakala maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Bagi pendaftaran awal, orang ramai boleh menghubungi En Yusof Ahmad, Setiausaha PBSD Lenggong di talian 019-472 2405.
Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul Anuar turut memaklumkan dua lagi kejohanan bola sepak akan berlangsung di Lenggong bermula 30 Mei 2026, iaitu Bola Sepak 9 Sebelah (Terbuka Perak) dan Liga Bola Sepak Parlimen Lenggong (Terbuka Hulu Perak).
Beliau menerima taklimat mengenai program Persatuan Bola Sepak Daerah (PBSD) Lenggong di Cafe Sidang Kopi, Lenggong.


