LENGGONG – Usaha merealisasikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka terus dilaksanakan susulan Lawatan Akademi yang dianjurkan oleh Majlis Pelancongan Lenggong dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark pada Mac 2026.
Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu bertujuan menjadikan Lenggong sebagai destinasi pilihan pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk membuka pusat kajian, di samping melaksanakan pelbagai program berteraskan akademik.
Menurut beliau, usaha tersebut selaras dengan matlamat memperkenalkan Lenggong dengan lebih meluas menerusi konsep “Pelancongan Pendidikan”, sekali gus memperkukuh kedudukan daerah itu sebagai pusat ilmu dan pembelajaran terbuka.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau bersama Prof Mokhtar Saidin hari ini mengadakan perbincangan secara terperinci untuk meneliti serta memperhalusi Kertas Cadangan “Lenggong Pusat Pendidikan Terbuka”.
Katanya, sebuah lembaga bagi “Lenggong Pusat Pendidikan Terbuka” akan dibentuk, sebelum kertas cadangan itu dibawa untuk pertimbangan Kerajaan Negeri Perak dan seterusnya dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan inisiatif berkenaan dapat direalisasikan dengan berkesan.


