Lenggong Diiktiraf UNESCO Global Geopark, Lonjak Pelancongan & Ekonomi Tempatan

September 26, 2025

Lenggong kini secara rasmi diterima sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark (UGGp) oleh UNESCO Global Geoparks Council.

Pengiktirafan itu susulan usaha berterusan kerajaan Perak memperkasa pemuliharaan alam, sejarah dan budaya tempatan.

Keputusan tersebut dibuat dalam Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Católica de Temuco, Araucanía, Chile, sempena Mesyuarat ke-10 UNESCO Global Geoparks Council pada 7 September lalu.

Penerimaan tersebut dicapai empat tahun selepas Lenggong diwartakan sebagai Lenggong Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021, menunjukkan nilai alam, sejarah dan budaya kawasan tersebut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ia hasil kerjasama erat Badan Pengurusan Lenggong Geopark, komuniti tempatan, Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)serta penggiat industri pelancongan.

“Setelah menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai : LENGGONG TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO pada 2012 kini layak mendapat pengiktirafan LENGGONG UNESCO GLOBAL GEOPARK.

“Selepas 4 tahun mendapat pengiktirafan LENGGONG GEOPARK KEBANGSAAN pada 16 Disember 2021, kini Lenggong Geopark Kebangsan sudah bersedia dengan status LENGGONG UNESCO GLOBAL GEOPARK.”

Beliau yang juga Pengerusi Geokomuniti Lenggong Geopark menekankan bahawa penerimaan berkenaan membuka peluang kepada pembangunan mampan, pelancongan antarabangsa dan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan, sambil mengekalkan kelestarian alam, warisan budaya serta kepentingan komuniti.

“Ini merupakan suatu pencapaian dan kejayaan yang amat besar dan bermakna kepada Lenggong.

“Sesungguhnya Pengiktirafan yang bakal Lenggong perolehi sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark (UGGp) sudah tentu suatu yang amat membanggakan dan ini merupakan pencapaian luarbiasa hanya selepas 4 tahun diwartakan sebagai LENGGONG GEOPARK KEBANGSAAN Ke-2 di Perak.”

Status Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark akan disahkan oleh Lembaga Eksekutif UNESCO pada Januari 2026, sebelum diumumkan secara rasmi semasa Perhimpunan Agung UNESCO pada Mei 2026.

Lenggong, yang mula diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012, kini mencapai tahap lebih tinggi, membolehkan pembangunan mampan dan pelancongan yang memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.

Pengiktirafan tersebut sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB 2030 menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan budaya serta memastikan kelestarian warisan alam yang bernilai tinggi.

Datuk Seri Dr. Shamsul menegaskan pengiktirafan itu akan memacu pertumbuhan ekonomi, memperkasa pelancongan dan budaya serta kepentingan komuniti tempatan terpelihara untuk generasi akan datang.

Apapun setelah Lenggong diterima oleh UNESCO Global Geoparks Council ia kemudian perlu dan akan disahkan oleh Lembaga Eksekutif UNESCO Januari 2026.

Dan Proses selanjutnya ialah akan diluluskan secara rasmi semasa Perhimpunan Agung UNESCO yang dijangka pada Mei 2026.

“Pasti pencapaian ini mengukuhkan usaha kita kearah pemuliharaan alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan bernilai antarabangsa. Dan pengiktirafan yang bakal diperolehi ini juga membuktikan Lenggong memiliki khazanah yang bernilai tinggi bertaraf antarabangsa yang penting dan perlu dipelihara.”

Pencapaian ini kata Shamsul, tidak akan diperolehi jika tiada kerjakuat Badan Pengurusan Lenggong Geopark, Komuniti Tempatan dan disokong Kerajaan Negeri Perak, NRES melalui Jabatan Mineral & Geosains ( JMG ) Perak dan Malaysia.

“Dan melalui pengiktirafan ini nanti, saya yakin Kerajaan Negeri Perak dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark berkeupayaan melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam memelihara kelestarian alam sekitar serta mengurus kawasan geopark yang memiliki nilai sangat tinggi dan berkepentingan antarabangsa.

“Ini kerana setiap 4 tahun penilaian semula akan dilakukan bagi menentukan pengiktirafan ini dipelihara atau tidak, maka disinilah komitmen semua pihak diperlukan.”

Apa yang dimiliki oleh Lenggong hakikatnya menepati Agenda Pembangunan Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di anjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sangat jelas menitik beratkan soal pemuliharaan alam, pembangunan mampan serta keseimbangan antara manfaat ekonomi dan sosial.

“Saya sendiri selaku pimpinan di Lenggong bersama Badan Pengurusan Lenggong UNESCO GEOPARK akan memastikan segala Pembangunan akan mengfocuskan pelbagai kegiatan ekonomi dan dalam ketika yang sama memastikan pemuliharaan alam, warisan dan budaya dan kepentingan komuniti terpelihara.

“Sebagai Ahli Parlimen Lenggong, saya amat bangga dengan pencapaian bertaraf dunia yang Lenggong perolehi setelah 31 Jun 2012 pengiktirafan pertama peringkat antarabangsa oleh Lenggong sebagai LENGGONG TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO.

“Penghargaan besar kepada pencapaian ini perlu saya berikan kepada YAB Menteri Besar Perak dan Kerajaan Negeri Perak yang telah bersetuju agar Lenggong dicalonkan untuk UNESCO GLOBAL GEOPARK. Persetujuan dan sokongan Kerajaan Negeri Perak sangat penting.”

Malah menurut Shamsul ketika beliau Menteri Tenaga & Sumber Asli ( KeTSA ) telah membawa cadangan untuk membangunkan Geopark di Lenggong dan YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad yang juga ADUN Kota Tampan menyokong penuh.

Dan atas sokongan itu pembangunan Geopark boleh dilaksanakan dan akhirmya status LENGGONG GEOPARK KEBANGSAAN di perolehi sebelum pengiktirafan lebih besar LENGGONG UNESCO GLOBAL GEOPARK diistiharkan nanti semasa Perhimpunan Agung UNESCO jangkaannya pada Mei 2026.

“Dan saya tidak mahu meninggalkan individu yang mendorong saya supaya membangunkan Geopark di Lenggong, iaitu Ybhg Dato Zurinah Pawan Teh ketika itu Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli ( KeTSA ) yang saya ketuai ketika itu.

“Diperingkat awal beliau lah yang memberikan panduan kepada saya selaku Menteri KeTSA bagaimana mahu realisasikan impian ini, dan memberi keyakinan Lenggong boleh melangkah jauh.”

Usaha bersungguh dilakukan oleh JMG Malaysia dan JMG Perak dengan sebuah Jawatankuasa Khas dibentuk KeTSA ( kini NERS ) yang diketuai Prof Dato’ Mokhtar Saidin & Prof Dr Ibrahim Komo serta yang lain ketika itu.

Dari sinilah permulaannya hingga Pengiktirafan pertama LENGGONG GEOPARK KEBANGSAAN diperolehi pada 16 Disember 2021.

“Rakaman penghargaan mesti diberikan kepada Badan Pengurusan Lenggong Geopark yang memainkan peranan penting ke arah Pengiktirafan LENGGONG UNESCO GLOBAL GEOPARK, saya sendiri menganggotai badan ini tetapi secara peribadi dan selaku Ahli Parlimen Lenggong saya rakamkan ucapan terima kasih kepada:

1. Yang Berusaha Tuan Mohd Fitri Bin Hassan, Pegawai Daerah Hulu Perak merangkap Pengerusi Geopark Lenggong).

2. Tuan Mohd Amzari Mohd Arzami, YDP Majlis Daerah Lenggong Merangkap Setiausaha Badan Pengurusan Lenggong Geopark.

3. En Mohd Noor Azam Bin Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah Lenggong.

4. En Muhammad Khairul Ameer Bin Abbas, Setiausaha Majlis Daerah Lenggong.

“Mereka antara watak penting kepada segala usaha ini bersama ramai lagi Jawatankuasa Badan Pengurusan Lenggong Geopark, Jabatan Kerajaan dan Agensi, Majlis Pelancongan Lenggong, serta pimpinan Komonuniti, semua yang terlibat sewaktu Penilaian oleh Panel Penilai ( Dari Turkey dan Jepun ) dan Pengiat industri pelancongan di Lenggong yang secara tidak langsung membantu usaha membangunkan LENGGONG GEOPARK hingga diangkat sebagai LENGGONG UNESCO GLOBAL GEOPARK.

“Saya hargai usaha pelbagai Universiti dan institusi pendidikan tempatan yang banyak membantu membuat kajian penting mengenai Lenggong, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) dan semua pihak yang tidak dapat saya bariskan satu persatu.

“Dari awal saya terlibat secara langsung dalam Pembangunan Geopark Lenggong, hingga diiktiraf awal sebagai LENGGONG GEOPARK KEBANGSAAN Ke 2 di Perak dan kini di Persidangan Antarabangsa ke-11 mengenai Geopark Global UNESCO, yang diadakan di Kampus Universidad Católica de Temuco San Juan Pablo Segundo Rudecindo Ortega Temuco, Araucanía, Chile. Semua diusahakan bersama yang lain agar Lenggong mendapat status baru LENGGONG UNESCO GLOBAL GEOPARK.”

Keputusan Kultralkura UNESCO Global Geopark, Chile membuka lambaran baru bagi Lenggong khasnya, Negeri Perak dan Malaysia amnya.

“Kepada masyarakat di Kawasan Parlimen Lenggong, berbangga lah dengan apa yang kita miliki.

“Saya yakin Lenggong akan dikenali dan menjadi tumpuan dunia seterusnya akan membawa pelbagai pembangunan khususnya dalam sektor pelancongan yang akhirnya membawa rahmat kegiatan ekonomi kepada rakyat.

“Saya akan berusaha memastikan limpahan ekonomi dan pembangunan akan rakyat nikmati. Dan dalam waktu yang sama memelihari kelestarian alam, memelihara warisan, dan budaya yang sangat tinggi nilainya bertaraf antarabangsa yang ada di Lenggong.”

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help