Lenggong Diiktiraf Sebagai UNESCO Global Geopark, Lengkapkan Dua Status Antarabangsa
PARIS – Lenggong, Perak hari ini menerima pengiktirafan rasmi sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark, sekali gus mengangkat nama Perak dan Malaysia di persada dunia.
Menurut YB Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) merangkap Ahli Parlimen Lenggong, pengiktirafan tersebut diterima pada jam 3.20 petang waktu Paris di Ibu Pejabat UNESCO, susulan pengumuman rasmi UNESCO pada 23 April 2026.
Beliau berkata, pencapaian itu turut melengkapkan rekod istimewa Lenggong apabila kawasan berkenaan kini mempunyai dua pengiktirafan antarabangsa; selepas pada 2012 diiktiraf sebagai Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ini menjadikan Lenggong antara kawasan yang menerima dua status bertaraf antarabangsa, dan di Semenanjung Malaysia, Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang memiliki kedua-dua pengiktirafan tersebut.
Sebelum ini, Lenggong telah diiktiraf sebagai Lenggong Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021, dan pengiktirafan peringkat UNESCO ini hadir selepas lima tahun perjalanan pemerkasaan geopark di peringkat kebangsaan.
Meliputi Lima Mukim
Lenggong UNESCO Global Geopark meliputi kawasan Mukim Temelong, Mukim Durian Pipit, Mukim Lenggong, Mukim Kenering dan Mukim Gerik.
Keistimewaan Geologi, Biodiversiti dan Warisan Budaya
Menjawab persoalan mengapa Lenggong layak menerima pengiktirafan tersebut, Shamsul Anuar memaklumkan kawasan itu memiliki 39 geowarisan serta 21 tapak warisan dan budaya yang penting, menarik serta bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, termasuk lapan tapak bertaraf antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 membuktikan Lembah Lenggong ialah antara tapak arkeologi paling penting di dunia, khususnya berkaitan penemuan signifikan sejarah awal manusia di Asia Tenggara.
Antara fakta yang diketengahkan ialah bukti Lenggong telah mula didiami sejak 1.83 juta tahun lalu, antaranya melalui penemuan berkaitan Batu Meteorit di Bukit Bunuh, Kota Tampan, Lenggong. Tapak seumpama itu dikatakan satu-satunya di Asia Tenggara dan diiktiraf bertaraf dunia.
“Lenggong UNESCO Global Geopark turut diiktiraf kerana nilai geologi yang luar biasa, biodiversiti yang kaya serta warisan budaya yang unik, selain menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kepentingan sejarah,” katanya.
Lenggong juga merangkumi pelbagai ciri semula jadi seperti tasik, sungai, gunung, serta tapak arkeologi yang berkait rapat dengan sejarah awal tamadun manusia, sekali gus menjadikannya penting bukan sahaja untuk pelancongan, malah untuk penyelidikan saintifik bertaraf antarabangsa.
Fokus Pelancongan, Komuniti dan Pendidikan Terbuka
Shamsul Anuar berkata pengiktirafan ini dijangka memberi impak besar kepada Lenggong, Perak dan Malaysia khususnya dalam sektor pelancongan.
Beliau memaklumkan usaha promosi akan diperkukuh melalui Majlis Pelancongan Lenggong, manakala penglibatan komuniti dalam keusahawanan pelancongan akan dipergiat melalui Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark meliputi bidang penginapan, kraftangan, makanan, pengangkutan dan pengurusan acara.
Antara program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan termasuk Geoschool Lenggong Geopark, GEOENTREPRENEUR, Bangsawan Lembah Lenggong serta penganjuran acara seperti Lenggong Dialog 2026.
Beliau turut menegaskan fokus utama selepas ini ialah menjadikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka, dengan langkah awal melalui Lawatan Akademi pada Mac 2026 anjuran Majlis Pelancongan Lenggong bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark, di mana UTM menjadi universiti awal membuka pusat kajian di Lenggong.
Shamsul Anuar berkata beliau berhasrat mewujudkan Institut Lembah Lenggong bagi menarik penglibatan pelbagai IPTA, IPTS serta institusi pendidikan luar negara ke arah menjadikan Lenggong sebagai destinasi Pelancongan Pendidikan.
Dalam masa yang sama, beliau berharap kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dapat membantu pembangunan infrastruktur pelancongan di kawasan itu.
Penghargaan Kepada Kerajaan Negeri dan Agensi Berkaitan
Beliau merakamkan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), serta penasihat, pengerusi dan jawatankuasa Badan Pengurusan Lenggong Geopark atas kejayaan bersejarah tersebut.
Mengakhiri kenyataannya, Shamsul Anuar menyeru masyarakat setempat untuk berbangga dengan warisan yang dimiliki.
“Sayangi Lenggong. Lenggong milik kita bersama,” katanya.

