Lebih 45,000 Individu Ditangkap Dalam Operasi Membanteras Jenayah Penipuan Dalam Talian Sejak 2024

July 24, 2026

KUALA LUMPUR – Seramai 45,722 individu telah ditangkap menerusi 44,603 operasi bersepadu membanteras jenayah penipuan dalam talian yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2024 hingga Jun 2026.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata pecahan tangkapan tersebut adalah 14,547 orang pada tahun 2024, 20,292 orang pada tahun 2025, dan 10,883 orang sehingga Jun 2026.

“Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM memperkukuhkan usaha membanteras penipuan dalam talian melalui pelaksanaan operasi bersepadu, tindakan penguatkuasaan secara berterusan, aktiviti risikan, kerjasama strategik bersama agensi berkuasa dalam dan luar negara, serta perkongsian maklumat dengan institusi kewangan, syarikat telekomunikasi, dan agensi berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Negara.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan peningkatan ketara dalam kadar pemulangan dana kepada mangsa penipuan menerusi National Scam Response Centre (NSRC).

Menurut beliau, pada tahun 2024, NSRC berjaya menyita sebanyak RM7.5 juta dan memulangkan RM508,478 atau 7 peratus kepada mangsa. Kadar tersebut meningkat kepada 38 peratus (RM6.6 juta daripada RM17.4 juta) pada tahun 2025, dan seterusnya kepada 57 peratus (RM4.1 juta daripada RM7.2 juta) sehingga Jun 2026.

“Peningkatan peratus pemulangan dana ini membuktikan bahawa fungsi NSRC sebagai pusat respons scam nasional semakin aktif dan semakin dipercayai oleh rakyat,” katanya.

Shamsul Anuar menjelaskan NSRC menjalinkan kerjasama erat dengan Bank Negara Malaysia (BNM), institusi kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan diambil sebaik sahaja laporan diterima.

“Melalui mekanisme ini, institusi kewangan dapat melaksanakan tindakan seperti penandaan atau pembekuan sementara terhadap transaksi atau akaun yang disyaki, sekali gus menghalang dana daripada dipindah atau dikeluarkan oleh sindiket sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pembangunan portal e-Financial Service Act (e-FSA), satu platform digital yang membolehkan pemantauan status permohonan maklumat perbankan secara masa nyata bagi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help