Lawatan Projek Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu Johor
JOHOR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengambil kesempatan ketika berada di Johor untuk melawat projek Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu.
Beliau dibawa oleh YB Pandak melawat Pusat Info Pelancongan di kawasan berkenaan dan berpeluang melihat pelbagai produk pelancongan yang ditawarkan kepada pelancong.
“Saya bangga melihat kesungguhan sahabat saya YB Pandak yang berjaya melakukan usaha membangunkan sektor pelancongan di Kampung Sungai Melayu yang telah mewujudkan pelbagai peluang ekonomi kepada masyarakat di sini,” kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar.
Projek eko-pelancongan tersebut dilihat berjaya menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui pembangunan sektor pelancongan berasaskan komuniti dan sumber alam semula jadi.
Kejayaan projek ini boleh dijadikan model dan contoh kepada kawasan lain yang mempunyai potensi pelancongan untuk turut dibangunkan bagi manfaat ekonomi masyarakat setempat.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siri kunjungan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar ke Johor yang turut melibatkan beberapa program rasmi bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

