Lawatan Meninjau Kerja-Kerja Menaiktaraf Kampung Budaya Lembah Lenggong
LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan kerja-kerja menaiktaraf Kampung Budaya Lembah Lenggong. Lawatan ini bertujuan untuk memantau perkembangan pelaksanaan projek naiktaraf yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan serta memastikan ia dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Dalam lawatan tersebut, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa projek menaiktaraf Kampung Budaya Lembah Lenggong amat penting dalam usaha memelihara serta mempromosikan warisan budaya masyarakat setempat kepada pelancong dari dalam dan luar negara. Beliau menyatakan bahawa Kampung Budaya ini berperanan sebagai medium untuk mempamerkan cara hidup, adat resam serta keunikan budaya masyarakat Lembah Lenggong yang kaya dengan nilai sejarah.
Beliau turut menegaskan bahawa projek naiktaraf ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan sektor pelancongan warisan di Lenggong, terutamanya selepas kawasan ini menerima pengiktirafan kedua UNESCO sebagai Global Geopark pada April 2026, selain statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia sejak 2012. Lenggong kini merupakan satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memiliki dua pengiktirafan antarabangsa UNESCO.
Kampung Budaya Lembah Lenggong merupakan salah satu aset pelancongan utama di daerah ini yang mempamerkan kehidupan tradisional serta warisan budaya masyarakat setempat, menjadikannya destinasi unik bagi pelancong yang ingin mengenali sejarah dan budaya Lembah Lenggong dengan lebih dekat.

