Lawatan Kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri Ke Bangunan Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU – Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) telah menerima kunjungan YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, sempena siri lawatan kerja beliau selama dua hari di negeri Johor.
Ketibaan beliau disambut oleh Puan Roszita binti Dim, Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan BSI, serta Tuan Saufi Affandi bin Jamaluddin, Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan yang mewakili Pengarah Imigresen Negeri Johor.
Tinjauan lawatan bertumpu di zon pelepasan yang sentiasa menyaksikan aliran trafik pengembara dan kenderaan yang tinggi, khususnya pada setiap akhir cuti hujung minggu. YB Timbalan Menteri turut meninjau sendiri keadaan pegawai semasa bertugas menjalankan pemeriksaan terhadap pengembara, selain melihat operasi kaunter pemeriksaan yang menyediakan kemudahan pemeriksaan imigresen menggunakan aplikasi MyBorderPass dan MyNIISe.
Seusai tinjauan, YB Timbalan Menteri diberikan taklimat berhubung perkembangan semasa di BSI serta inisiatif-inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam bangunan dan memperkukuh keberkesanan tugas agensi penguatkuasaan. Antara langkah yang dibincangkan termasuk penambahan kamera litar tertutup dan pemasangan interkom baharu di kaunter pemeriksaan.
Dalam sesi taklimat tersebut, beliau turut menzahirkan harapan agar setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kementerian dalam usaha menambah baik perkhidmatan di pintu masuk sentiasa dihebahkan kepada umum. Beliau juga berharap Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap pada hujung tahun ini dapat membantu meredakan kesesakan di laluan Tambak Johor.

