Lawatan Kerja Rasmi Ke JUPEM

April 9, 2020

Kenyataan Media
LAWATAN KERJA MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI KE JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA
– BAHAGIAN GEOSPATIAL PERTAHANAN

Hari ini saya telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Pusat Operasi Geospatial Pertahanan di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi melihat secara terperinci tentang Aplikasi Dashboard (WebGIS) yang memaparkan maklumat terkini mengenai perkembangan virus pandemik COVID-19 di Malaysia. Lawatan ini juga sebagai tanda sokongan moral saya terhadap petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), JUPEM dalam mengendalikan aplikasi tersebut.

Di kesempatan ini saya ingin nyatakan bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui JUPEM telah membangunkan aplikasi Dashboard (WebGIS) pada 18 Mac 2020 bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON), Majlis Keselamatan Negara (MKN). Aplikasi ini menyediakan Common Operating Picture kepada ATM dan MKN secara on-line melalui laman sesawang bagi mengetahui perkembangan terkini melalui penyata harian bagi Kes Positif Person Under Surveillance (PUS) dalam kalangan pegawai, anggota ATM dan orang awam. Secara tidak langsung, pemantauan melalui aplikasi Dashboard ini dapat memberikan situational awareness mengenai penularan wabak COVID-19.

Aplikasi Dashboard (WebGIS) merupakan salah satu medium penting dalam menyediakan Common Operating Picture dan sebagai penyampaian maklumat geospatial di waktu kecemasan kepada Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara. Aplikasi ini dilengkapi dengan paparan yang mengandungi maklumat atribut dan spatial yang membantu dalam pembangunan aplikasi GIS untuk tujuan pemantauan dan ringkasan pelaporan keseluruhannya. Antara maklumat yang boleh dipaparkan adalah Lokasi Senarai Hospital Rujukan, Lokasi Stesen Kuarantin, Lokasi Kes Negeri, Lokasi Terjejas, Lokasi Kawasan Panas dan Lokasi Penutupan Jalan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan. Data-data yang digunakan dalam pembangunan aplikasi Dashboard (WebGIS) diperolehi melalui sumber-sumber rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia – National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC); Angkatan Tentera Malaysia – Bahagian Perkhidmatan Kesihatan; ESRI Malaysia – COVID-19 GIS Hub Malaysia dan Social Media – Outbreak Malaysia serta laporan media tempatan.

KeTSA melalui JUPEM akan sentiasa membantu Kerajaan Malaysia dalam menyediakan data geospatial terutamanya kepada ATM, Agensi Keselamatan dan agensi-agensi berkaitan mengikut keperluan dengan membangunkan aplikasi dashboard ini yang secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia secara sistematik dan efisien.
Sempena Lawatan Kerja saya ke JUPEM, saya juga telah menerima sumbangan dana berjumlah RM145,000.00 untuk Tabung COVID-19 KeTSA sebagai tanda sokongan dalam usaha pencegahan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Dana tersebut merupakan sumbangan daripada Badan-badan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan bersama JUPEM seperti Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT), Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), Geomatics and Land Surveying Division (GLS), Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Koperasi Jurukur Tanah Berlesen Berhad (KOJUTA), Koperasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Berhad (KOJUPEM), Yayasan Kebajikan Jurukur Tanah Berdaftar, Geospatial Sciences & Technology College (GSTC) dan Majlis Sukan JUPEM. Sumbangan dana tersebut akan diagihkan kepada klinik Kerajaan, badan-badan sukarela dan agensi-agensi yang berada di barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19.

Dalam keadaan ini saya rakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada JUPEM atas kerja kuat bagi membantu kerajaan menghadapi wabah COVID-19.

YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga & Sumber Asli.
9 APRIL 2020

#JUPEM #lenggong #gerik #covid19

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help