Larangan Terbit Al-Quran Dalam Tulisan Rumi Kekal

May 22, 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan sama sekali naskhah al-Quran diterbitkan dalam tulisan rumi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata, pendirian itu selaras peruntukan undang-undang di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).

“Akta ini tidak membenarkannya, kerana al-Quran mestilah menggunakan teks asal iaitu dalam bahasa Arab sahaja di negara ini (dan) ini jelas.

“KDN juga merujuk keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-24 yang bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989 bahawa haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian dalam al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab.

“Ini (pendirian) tegas dan terus diberi perhatian tinggi kementerian,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, yang mempengerusikan mesyuarat kemudian memaklumkan pindaan RUU Akta 326 itu diluluskan sebulat suara Ahli Parlimen hari ini, selepas dibentang bagi bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Terdahulu, RUU itu dibentangkan antara lain untuk menaikkan penalti serta hukuman penjara bagi kesalahan mencetak atau menerbitkan teks al-Quran yang tidak diperakui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

RUU bertujuan meminda Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 itu, mencadangkan peningkatan jumlah penalti maksimum daripada RM10,000 kepada RM50,000, manakala hukuman maksimum penjara pula daripada tiga tahun kepada lima tahun.

Menyentuh persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen mengenai al-Quran digital yang diragui ketepatan isi kandungannya, Shamsul berkata, kerajaan menyarankan rakyat menggunakan aplikasi Smart Quran sebagai rujukan utama.

“Aplikasi al-Quran digital ini adalah bagi memudahkan rakyat. Kita galakkan rakyat menggunakan aplikasi Smart Quran yang dibina KDN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya harap rakyat di luar sana boleh guna aplikasi ini dan apa yang dibangkitkan (mengenai keraguan al-Quran digital) akan kita ambil perhatian,” katanya.

Menjawab persoalan mengenai percetakan satu juta naskhah al-Quran, beliau berkata, setakat ini, sebanyak 25,000 naskhah sudah dicetak dan 40,000 lagi masih dalam proses percetakan yang terdiri daripada bahasa Cina, Inggeris serta bahasa asing lain.

“Al-Quran yang sudah dicetak, agihannya dilakukan termasuk ketika lawatan rasmi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke luar negara. Antaranya ke Kemboja pada 27 Mac lalu, di mana sebanyak 1,500 naskhah sudah diedar.

“Selebihnya agihan akan diselaraskan Kementerian Luar mengikut kaedah dan saluran ditentukan nanti,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1104581/larangan-terbit-al-quran-dalam-tulisan-rumi-kekal-kdn

Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/259771/berita/nasional/kerajaan-tak-benar-al-quran-dicetak-dalam-tulisan-rumi

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help