Lahir Di Negara Ini Bukan Syarat Automatik Dapat Warganegara

October 11, 2023

PARLIMEN l Sebanyak 11,065 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan diterima daripada Sabah bagi tempoh 2017 hingga 2022, dengan 481 daripadanya telah diluluskan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara, daripada jumlah itu 3,917 permohonan ditolak manakala 6,667 pula sedang diproses.

“Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan hak eksekutif kerajaan Persekutuan dan kita tidak tawarkan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak,” katanya pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Vivian Wong Shir Yee (DAP-Sandakan) di kamar khas itu yang membangkitkan isu berkenaan, antaranya berkaitan jumlah permohonan kewarganegaraan yang diproses dan ditolak di Sabah serta tempoh masa untuk pemprosesan permohonan.

Shamsul Anuar berkata dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan, beban untuk membuktikan kelayakan untuk dianugerah kewarganegaraan adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon.

Katanya, walaupun keputusan DNA mengesahkan pertalian darah seseorang individu dengan ahli keluarga lain khususnya dengan ibu, bapa atau adik-beradik, ia hanya sebagai dokumen sokongan dan tidak boleh dijadikan bukti konklusif dalam pemberian kewarganegaraan.

Beliau berkata ini kerana proses pertimbangan tertakluk kepada syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

“Permohonan kewarganegaraan dikemukakan secara berasingan dengan kandungan maklumat dan dokumen sokongan berbeza-beza, maka hasil penilaian dan pertimbangan permohonan juga berbeza ikut keperluan, bukti dan fakta kes berdasarkan maklumat diberikan,” katanya.

Beliau berkata fakta dan dokumen bukti dikemukakan pemohon akan diteliti mengikut giliran sewajarnya, sebelum keputusan dikeluarkan dan sehubungan itu, tiada tempoh masa ditetapkan bagi pengeluaran keputusan dan alasan penolakan berbeza-beza mengikut keperluan kes.

Bagaimanapun, katanya, secara umum alasan penolakan adalah seperti kerana perkahwinan tidak didaftar, keberadaan subjek tidak jelas kerana gagal membuktikan subjek berada dalam negara, pemohon tiada locus standi untuk membuat permohonan dan maklumat diberikan pemohon meragukan.

“Sepertimana ditetapkan sebelum ini, kelahiran di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraaan secara automatik, sebaliknya ia ditentukan berdasarkan status perkahwinan dan taraf warganegara ibu bapa kandung sewaktu kelahiran itu berlaku,” katanya.

– Bernama

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/682409?fbclid=IwAR0cK0usDcoABWXEwznBG-bP3j6c60GcUhdJV291aorYL1e7U5rIYoLo2wk

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help