MELAKA – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyampaikan ucaputama serta merasmikan majlis penutupan Kursus Kepimpinan & Kenegaraan yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (PEMADAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia bertempat di Akademi Kenegaraan Malaysia, Melaka pada Ahad.
Kursus selama tiga hari tersebut menyaksikan penyertaan pemimpin muda daripada pelbagai institusi pendidikan, pertubuhan belia serta badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara dengan majoriti peserta terdiri daripada wakil Negeri Melaka.
Program ini bertujuan memupuk nilai kepimpinan serta memperkukuh kefahaman mengenai prinsip kenegaraan dalam kalangan generasi muda bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang bertanggungjawab dan patriotik.
Kehadiran Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam majlis penutupan kursus berkenaan mencerminkan komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap usaha pembangunan modal insan muda menerusi kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, badan pencegahan dadah dan institusi kenegaraan.
Kursus tersebut diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada seluruh peserta yang berjaya menamatkan program berkenaan.


