Kursus Kepimpinan Di Kem Ulu Kenas
KUALA KANGSAR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah merasmikan Kursus Kepimpinan anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Akademi Kepimpinan Malaysia@NEXT yang berlangsung di Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak pada Sabtu.
Majlis perasmian yang diadakan bermula pada jam 9.00 pagi tersebut telah menyaksikan kehadiran para peserta kursus yang akan menjalani program pembangunan kepimpinan serta pemerkasaan semangat kenegaraan.
Kursus berkenaan merupakan satu kerjasama strategik antara AKM, iaitu sebuah institusi latihan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menerajui hal ehwal latihan kenegaraan ke arah pembinaan negara bangsa, bersama Akademi Kepimpinan Malaysia@NEXT dalam usaha melahirkan pemimpin yang berintegriti serta berjiwa patriotik.
Program ini memberikan penekanan terhadap elemen kepimpinan, sejarah kenegaraan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Kehadiran Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam majlis perasmian kursus tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan menerusi program latihan kepimpinan yang berteraskan nilai kenegaraan dan patriotisme.

