Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 Lulus Tujuh Resolusi Perkukuh Pendidikan Bumiputera

September 9, 2026

KUALA LUMPUR – Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 8 September 2026 meluluskan tujuh resolusi utama bagi memperkukuh agenda pendidikan serta mobiliti sosial masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Konvensyen bertemakan “Agenda Pendidikan Melayu” tersebut dipengerusikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, manakala majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta barisan pemimpin kanan parti.

Zambry menegaskan kelangsungan pendidikan Bumiputera tidak boleh lagi bergantung kepada kuota, sebaliknya perlu beralih kepada pembinaan keupayaan diri bagi melahirkan pencipta ilmu, pemilik teknologi dan peneraju ekonomi. Beliau turut memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh menjadi pemerkasa atau pemisah, bergantung kepada kekuatan asas ilmu pelajar.

Tiga sesi perbincangan utama memberi tumpuan kepada cabaran pendidikan golongan B40 dan M40, peranan strategik UiTM, serta pembaharuan AUKU. Zahid dalam ucapan penutup menegaskan akta pengganti AUKU tidak boleh mewujudkan sebarang sekatan baharu terhadap mahasiswa dan ahli akademik.

Tujuh resolusi yang diluluskan ialah pembangunan Pangkalan Data dan Indeks Mobiliti Pendidikan Nasional; pelaksanaan intervensi awal dan bersasar; pembangunan laluan mobiliti pendidikan dan sosial bersepadu; memperkasa UiTM sebagai khazanah strategik Bumiputera; merancang agenda perubahan minda Bumiputera; memanfaatkan alumni UiTM; serta memastikan rangka undang-undang baharu yang komprehensif menggantikan AUKU. Resolusi tersebut diserahkan kepada Zahid untuk tindakan dasar selanjutnya.

Konvensyen ini merupakan kesinambungan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei 2026 dan menjadi acara pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help