Kolej Komuniti Lenggong Capai Matlamat Asal, Sokong Usahawan & Pelancongan
LENGGONG – Kolej Komuniti Lenggong yang bermula sebagai Kolej Komuniti Lenggong (Cawangan Sungai Siput) pada 2018 kini dilihat telah memenuhi matlamat asal penubuhannya untuk membangunkan usahawan serta memperkukuh sektor pelancongan di daerah itu.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kolej berkenaan dilancarkan pada 2018 oleh Menteri Pendidikan Tinggi ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut beliau, hala tuju kolej yang memfokuskan pembangunan keusahawanan dan pelancongan kini semakin relevan selari dengan pertumbuhan industri pelancongan di Lenggong yang merangkumi pengiktirafan Lenggong UNESCO Global Geopark serta Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Kini matlamat itu tercapai sesuai dengan pembangunan sektor pelancongan di kawasan Lenggong UNESCO Global Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO. Saya harap usahawan Lenggong Geopark menjadikan kolej ini sebagai institusi membangunkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Lenggong (Cawangan Gerik) pada jam 12.20 tengah hari, selepas merasmikan Kursus Usahawan Lenggong Geopark.
Lawatan berkenaan turut disertai Pengarah Kolej Komuniti Gerik, Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong serta Pengarah Kolej Komuniti Kuala Kangsar.

