Kg Beng Dipilih Kg Angkat MADANI KDN

May 14, 2024

LENGGONG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memilih Kampung Beng di sini dijadikan Kampung Angkat Madani kementerian itu dan memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembangunkan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan seterusnya meningkatkan taraf hidup penduduk.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pemilihan kampung di bawah mukim Durian Pipit itu kerana keistimewaannya tersendiri yang terletak di tapak warisan arkeologi bernilai tinggi.

Katanya, Kampung Beng juga sinonim dengan daerah kecil Lenggong yang mempunyai keunikan flora serta faunanya yang dikenali ramai sebagai tempat aktiviti pelancongan.

“Kampung ini ada satu kelebihan tersendiri kerana di sini juga adanya tapak warisan arkeologi bertaraf UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang diiktiraf sejak 2012. Jadi kerana itu potensinya cukup besar.

“Kita naik taraf beberapa perkara yang kita anggap penting termasuk bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk seperti menaik taraf bekalan air bersih yang akan turut memberi manfaat kepada beberapa lagi kampung sekitar seperti Kampung Batu Ring dan Kampung Durau,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani KDN di kampung itu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Lenggong yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Besar Perak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.

Saifuddin menjelaskan dengan peruntukan yang diberikan itu beberapa inisiatif lain bakal memanfaatkan penduduk Kampung Beng termasuk menaiktaraf kemudahan internet; peningkatan aspek keselamatan kampung melalui pembinaan pondok polis, penyelenggaraan sungai dan tasik.

Katanya, peruntukan itu juga bagi mendekatkan jurang prasarana internet dan komunikasi yang sudah menjadi antara keperluan utama masyarakat.

“Antara komponen lain yang bakal diperkenalkan penyediaan bot polis memandangkan Kampung Beng berdekatan destinasi pelancongan yang sering dikunjungi pelancong selain mengambil kira cadangan menjadikan kampung itu sebagai laluan utama menghubungkan Sungai Siput dan Lenggong di masa depan.

“Komponen penyelenggaraan sungai dan tasik di kampung ini tidak kurang pentingnya khususnya bagi aspek keselamatan memandangkan kawasan ini sedia rancak dengan aktiviti pelancongan.

“Saya juga difahamkan sungai dan tasik di sini menjadi antara laluan utama anak-anak yang tinggal di beberapa pulau kecil untuk ke sekolah. Jadi sebagai kampung angkat KDN, kita juga akan membuat perolehan bot polis bagi mengawasi keselamatan seluruh kawasan tasik,” katanya.

Dalam masa yang sama, Saifuddin berkata, beliau akan menyemak dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jika ada bot tidak lagi sesuai untuk kegunaan di laut untuk diguna semula di tasik sebagai bot peronda di kampung berkenaan.

Sumber: https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/05/14/kampung-beng-dipilih-kampung-angkat-madani-kdn/

Bernama: https://www.bernama.com/radio/news.php?id=2296936
Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/05/1246192/kampung-beng-dipilih-kampung-angkat-madani-kdn

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help