INISIATIF DISKAUN 50% BAGI MEMBANTU PEMAJAK TANAH PERSEKUTUAN YANG TERJEJAS EKORAN WABAK COVID-19
Kerajaan Persekutuan melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh memajak tanah Persekutuan kepada pihak lain berdasarkan Seksyen 221 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dengan menandatangani Perjanjian Pajakan mengikut tujuan-tujuan yang dibenarkan dan dikenakan bayaran pajakan secara tahunan.
Berikutan penularan wabak COVID-19, Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan beban yang dihadapi oleh segenap masyarakat dan sektor, termasuklah pemajak-pemajak tanah Persekutuan yang antaranya, terdiri daripada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan pelabuhan yang merupakan sektor yang paling teruk terjejas dan memerlukan masa untuk kembali stabil.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan inisiatif bagi membantu pemajak tanah Persekutuan yang terlibat dalam sektor yang terjejas teruk melalui pemberian diskaun kadar pajakan sebanyak 50% bagi tahun 2021 daripada nilai kadar pajakan tahunan kepada pemajak yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Sekiranya pemajak tidak memenuhi kriteria yang membolehkan pengurangan kadar pajakan diberikan, pemajak-pemajak boleh mengemukakan permohonan penjadualan semula bayaran pajakan bagi tahun 2021 kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta dikecualikan denda lewat.
Melalui inisiatif ini, diharapkan dapat membantu pemajak untuk menyusun semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah-tanah Persekutuan, di samping mengelakkan tanah-tanah tersebut daripada terbiar.
YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
18 JULAI 2021
#lenggong #geopark #teamDSAN #KeTSA