KUALA LUMPUR, 30 Jun — Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membuat persiapan sewajarnya dalam memperkasa pendirian negara berhubung kepelbagaian biologi bagi menghadapi rundingan pada mesyuarat Persidangan ke-15 Pihak-pihak (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) yang dijadual berlangsung di Kunming, China pada awal Oktober ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata menjelang persidangan itu, KeTSA selaku pusat tumpuan utama bagi CBD, mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-24 Badan Subsidiari untuk Nasihat Ilmiah, Teknikal dan Teknologi (SBSTTA24) dan Mesyuarat ke-3 Badan Subsidiari mengenai Pelaksanaan (SB13) yang diadakan secara maya dari 3 Mei hingga 13 Jun lepas.
Penglibatan Malaysia dalam mesyuarat-mesyuarat itu adalah signifikan dalam mempertahan pendirian negara serta meningkatkan reputasi negara dalam menjaga dan memulihara kepelbagaian biologi.
“Agenda utama yang dibincangkan ialah mengenai pembangunan pelan Rangka Kerja Kepelbagaian Biologi Global Pasca-2020 (Post-2020 GBF). Semasa Mesyuarat SBSTTA24, Malaysia telah menekankan tentang kepentingan penyediaan suatu pelan Post-2020 GBF yang berpandangan jauh, realistik serta mengambil kira kehendak nasional, subnasional dan tempatan.
“Malaysia juga menegaskan supaya pelaksanaan Post-2020 GBF disokong oleh garis panduan, bantuan teknikal dan sumber kewangan daripada Sekretariat CBD dan negara-negara maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsul Anuar berkata dalam mesyuarat SB13 pula, Malaysia menekankan supaya pelaporan kepada CBD dilaksanakan melalui dasar biodiversiti negara masing-masing dengan mengambil kira Post-2020 GBF, menyokong penglibatan pertubuhan bukan kerajaan serta meningkatkan usaha mengarus perdana biodiversiti dalam pelbagai sektor.
Selain itu, Malaysia turut menegaskan tanggungjawab negara-negara maju dalam aspek pelaksanaan Post-2020 GBF selaras dengan prinsip Common But Differentiated Responsibilities (CBDR).
Mesyuarat SBSTTA24 dan SBI3 merupakan forum teknikal yang membincangkan dan meneliti agenda-agenda utama yang akan dirundingkan dalam mesyuarat COP15 CBD.
CBD dianggotai oleh 193 negara ahli dan mempunyai tiga matlamat utama iaitu pemuliharaan kepelbagaian biologi, penggunaan komponennya secara mampan dan perkongsian faedah secara adil dan saksama daripada penggunaan sumber genetik.
Malaysia menyertai perjanjian multilateral alam sekitar itu sejak 1994.
— BERNAMA