KeTSA Tambah Baik Perkhidmatan Dalam Aplikasi Teknologi, Maklumat Geospatial

March 22, 2021

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) melaksanakan pelbagai usaha bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, terutamanya dalam mengaplikasikan teknologi dan maklumat geospatial untuk keselamatan serta kedaulatan negara.

Antara usaha yang dilaksanakan meliputi pembangunan dashboard dan maklumat geospatial bagi kegunaan Operasi Benteng, khidmat kepakaran teknikal dalam Kumpulan Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik dan penghasilan buku Peraturan Tetap Operasi (PTO) bagi pengurusan maklumat geospatial dalam pengurusan 10 jenis bencana.

Menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dalam mendepani perubahan dunia kini, kesedaran keperluan maklumat geospatial semakin meningkat dan kepakaran juruukur amat diperlukan dalam pengumpulan maklumat geospatial yang tepat dan berkejituan tinggi.

“Juruukur menjadi penggerak dan pemacu utama kepada pembangunan ekonomi negara bagi menjayakan Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB).

“Keperluan maklumat geospatial yang tepat dan berintegriti menjadi satu elemen yang penting dalam menghasilkan satu keputusan yang efisien dan efektif. Maklumat geospatial menjadi satu perkara penting yang diguna pakai di semua peringkat agensi kerajaan dan agensi swasta untuk tujuan masing-masing,” katanya dalam perutusan sempena Hari Juruukur Sedunia 2021 hari ini.

Beliau berkata kewujudan dan ketersediaan pelbagai teknologi baharu di era Ekonomi Digital dan Revolusi Industri 4.0 membuka peluang kepada juruukur untuk mengeksploitasi dan meneroka teknologi terkini dalam aktiviti ukur, pemetaan dan geospatial seperti Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), Sistem Pesawat Tanpa Pemandu) (UAS) atau dron dan ‘mobile mapping’ dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti kepada produk yang dihasilkan.

Hari Juruukur Sedunia disambut 21 Mac setiap tahun dengan tema sambutan tahun ini ‘Surveyors As Geospatial Frontliners: Pandemic-proofing Our Profession’.

Mengulas mengenai tema berkenaan, Shamsul Anuar berkata tema itu dipilih bagi menekankan peranan juruukur dalam penyediaan data geospatial dan analisis dalam data geospatial yang menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negara. – BERNAMA

Sumber: https://umno-online.my/2021/03/22/ketsa-tambah-baik-perkhidmatan-dalam-aplikasi-teknologi-maklumat-geospatial/

Bernama: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1944188

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help