KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) meluluskan dana segera bernilai RM179,426 sebagai peruntukan awal Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada 10 premis Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas teruk dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata dana itu daripada peruntukan Akaun Amanah Konservasi Biodiversiti di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Beliau berkata, dana segera adalah kesinambungan terhadap bantuan disalurkan sebelum ini sebanyak RM3.9 juta daripada kerajaan dan RM500,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program tanggungjawab sosial korporat yang disalurkan secara berperingkat kepada 25 ZPT yang terjejas bermula Mei 2020.
Katanya, Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar pada kali ini adalah berdasarkan permohonan bagi keperluan segera oleh 10 ZPT berkenaan.
“Kementerian turut prihatin kepada ZPT yang terjejas berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini.
“Selain ketiadaan sumber pendapatan akibat tiada kutipan tiket masuk, ZPT juga terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi termasuk menyediakan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pengurusan husbandri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bagi mengurangkan beban dihadapi oleh rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
Shamsul Anuar berkata, sejak pengumuman PKP pertama pada Mac 2020, KeTSA menyediakan pelbagai inisiatif melalui penyaluran bantuan kepada sektor bawah kawalan kementerian yang terjejas.
Katanya, bagi membantu penyewa tanah persekutuan dan penyewa ruang bangunan Kerajaan Persekutuan, inisiatif pemberian diskaun yang diberikan kepada penyewa sehingga 30 Jun ini akan diteruskan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Julai ini.
“Inisiatif kepada penyewa tanah dan ruang bangunan Persekutuan diharap dapat membantu meringankan beban disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 selain memberi ruang untuk penyusunan semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah atau ruang bangunan Persekutuan.
“Kerajaan melalui KeTSA sentiasa komited dalam membantu sektor bawah kawalan kementerian yang terkesan termasuk dalam memastikan kebajikan rakyat ditingkatkan dan perlindungan hidupan liar terus terpelihara,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/825412/ketsa-lulus-dana-segera-rm179426-bantu-zoo
Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/berita/2021/06/10-zpt-dapat-bantuan-dana-segera-ketsa/
Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/715298/ketsa-lulus-dana-segera-bantu-10-premis-zoo-zpt
Kosmo: https://www.kosmo.com.my/2021/06/08/ketsa-sedia-rm179426-bantu-10-zoo-pameran-tetap-terjejas/
MalaysiaGazette: https://malaysiagazette.com/2021/06/08/dana-sebanyak-rm179426-untuk-zoo/