Titah Agong Kekalkan Pentadbiran Kerajaan Penting Untuk Kestabilan Negara

February 14, 2023

KUALA LUMPUR: Parti politik menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan sehingga tamat penggal sebagai pesanan penting untuk mencapai kestabilan dalam negara.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pesanan Tuanku supaya kemelut politik dengan pertukaran empat Perdana Menteri tidak lagi berlaku, sangat tepat dan menunjukkan baginda tahu apa yang diinginkan rakyat.

“Kemelut politik yang melanda negara, realitinya memberikan kesan yang sangat besar terutama mewujudkan ketidakyakinan pelbagai pihak kepada negara.

“Keadaan ini diakui menjejaskan banyak perkara terutama dari sudut ekonomi, yang akhirnya memberikan kesan langsung kepada rakyat.

“Pertukaran empat Perdana Menteri dalam satu penggal adalah dalil berlakunya kemelut itu,” katanya kepada BH.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang, pada 30 Januari tahun depan.

Baginda menyifatkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku sepanjang baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong, sebagai bersejarah dan sukar untuk dilupakan.

Ia berikutan baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat Perdana Menteri serta empat Jemaah Menteri yang berlainan, susulan kemelut politik berpanjangan sejak tiga tahun lalu.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, bagi memastikan kemelut itu tidak berulang, semua pihak mesti menghormati dan menjunjung titah baginda.

Selain itu, katanya, semua pihak juga mesti menghormati apa yang diputuskan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Malah, kesepakatan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan membentuk kerajaan ini, mesti juga dihormati kerana apa yang disepakati adalah mengikut amalan demokrasi dan sah dari segi undang undang.

“Jika kita menghormatinya, maka kestabilan dapat diwujudkan. Saya yakin dengan adanya akta berkaitan antilompat parti, kestabilan akan dapat dikekalkan dan semua pihak mesti mematuhi peraturan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata titah baginda itu amat penting untuk menamatkan kegentingan politik yang berlaku di negara ini.

Beliau, yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kestabilan politik membolehkan semua pihak memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketiadaan parti yang menang secara mutlak atau mendominasi kerajaan, menyebabkan berlaku pertukaran Perdana Menteri dan barisan Kabinet.

Katanya, tindakan kerajaan lalu meluluskan pindaan perlembagaan berkaitan antilompat parti adalah sebahagian dari usaha mengurangkan kemelut politik yang berlaku.

Namun, katanya, akta itu tidak menghalang untuk sesebuah parti politik menyokong mana-mana parti, yang mana ini bagi mengelak berlakunya Parlimen yang tergantung.

“Terdapat pelbagai kaedah boleh dilakukan, seperti adanya perjanjian persefahaman antara kerajaan dan pembangkang.

“Namun, kita harus menerima hakikat selagi ia dalam kerangka sistem demokrasi dan tidak bercanggah dengan perlembagaan negara, maka ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya juga ingin berkongsi rasa bangga dengan rakyat dan pimpinan negara tanpa mengira parti politik, bila tiada sebarang huru-hara, pertumpahan darah atau demonstrasi awam yang mengganggu perjalanan urus tadbir negara walaupun empat kali pertukaran pimpinan negara,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1064218/titah-agong-kekalkan-pentadbiran-kerajaan-penting-untuk-kestabilan

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help