Kesal Fosil Gua Matsoorat Rosak, Harap Dijadikan Pengajaran –Shamsul Anuar

April 5, 2021

LENGGONG, 5 April – Insiden kerosakan terhadap fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Matsoorat di Ipoh selepas syarikat produksi drama menjalankan penggambaran di situ diharap tidak berulang serta menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya kesal terhadap apa yang berlaku kerana ia melibatkan kawasan Geopark yang disifatkan sebagai kawasan yang bernilai tinggi.

Katanya kementerian tidak menghalang mana-mana pihak untuk melawat atau berada di kawasan berkenaan namun ia harus dilakukan dengan bertanggungjawab tanpa merosakkan sebarang fosil atau artifak.

“Memang kita galakkan untuk pelbagai pihak melawat dan melihat apa yang ada (di kawasan berkenaan). Tetapi pastikan setiap aktiviti yang kita lakukan mesti secara bertanggungjawab dan tidak memusnahkan artifak ataupun bahan-bahan yang sangat bernilai tinggi itu.

“Namun saya berharap, bukan hanya di Geopark Lembah Kinta, begitu juga di kawasan-kawasan lain sama ada di Geopark Lenggong, ataupun di Jerai atau di Langkawi atau di tempat lain.

“Kalau musnah kita tak dapat cari ganti lagi fosil yang dimusnahkan itu, kerana ia sangat tinggi nilainya. Kita amat kesal itu berlaku dan perkara-perkara tidak bertanggungjawab ini harus dielak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli di sini pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan penerbit dan pengarah, Michael Ang mengaku kerosakan fosil dan dinding di Gua Matsoorat, berpunca daripada perbuatan seorang daripada kru syarikat produksinya ketika menjalani penggambaran sebuah di bandar raya itu, baru-baru ini.

Susulan itu Kerajaan Perak menerusi Exco Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, menuntut ganti rugi daripada syarikat produksi berkenaan akibat kerosakan tersebut.

Sumber: https://www.suaraperak.my/kesal-fosil-gua-matsoorat-rosak-harap-dijadikan-pengajaran-shamsul-anuar/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help