Kes Pencerobohan Nelayan Asing Masih Terkawal

February 29, 2024

KUALA TERENGGANU – Kes pencerobohan nelayan asing di perairan negara masih berada dalam keadaan terkawal, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Shamsul Anuar berkata, bagaimanapun pihaknya akan terus meningkatkan kawalan selain berusaha memerangi pencerobohan itu bagi memastikan sempadan perairan negara tidak mudah dibolosi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Dari semasa ke semasa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa meningkatkan keupayaan bukan sahaja melibatkan aset malah dari segi kemahiran dan kecekapan anggota kita.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selaku agensi yang berada di bawah kementerian ini turut melipatgandakan rondaan dan operasi di perairan negara bagi mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) melalui jalan laut dan sempadan perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Maritim Perkasa 2024 di pekarangan Jambatan Angkat di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sebanyak 86 kes tangkapan bot nelayan asing telah berjaya dilakukan pada tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, Terengganu mencatatkan 10 kes bagi isu yang sama.

“Berdasarkan kejayaan berkenaan, Maritim Negeri Terengganu telah berjaya menyelamatkan hasil maritim negara bernilai lebih RM15 juta.

“Jumlah berkenaan adalah nilai yang begitu besar dan perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Jadi kerjasama antara kerajaan Terengganu dan Maritim sangat penting bagi menangani isu pencerobohan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, masyarakat tempatan khususnya komuniti maritim perlu terlibat sama membantu pihak Maritim dengan menjadi ‘mata dan telinga’ bagi menyalurkan maklumat atau aduan dalam memastikan isu berkenaan dapat dibendung sewajarnya.

Justeru, beliau menyatakan penganjuran Karnival Maritim Perkasa 2024 mampu menjadi platform terbaik bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman keselamatan di perairan negara.

Bertemakan ‘Melestarikan Warisan Maritim Negara’ karnival itu berlangsung selama tiga hari bermula Khamis sehingga Sabtu ini selain turut dimeriahkan dengan 35 reruai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan dan pelbagai acara menarik yang lain.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/652069/berita/nasional/kes-pencerobohan-nelayan-asing-masih-terkawal—shamsul-anuar

Astro Awani: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/86-kes-tangkapan-bot-nelayan-asing-cuba-ceroboh-perairan-negara-tahun-lepas-shamsul-anuar-460344

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help