JIM, MCMC Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Strategik
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada hari ini memperkukuh kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan mempertingkat perkongsian maklumat, risikan dan analisis digital serta pelaksanaan operasi bersepadu antara kedua-dua agensi.
Majlis pertukaran dokumen tersebut berlangsung sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Ogos 2026 di Auditorium, Aras 5, Setia Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya.
Bagi pihak JIM, MoU ditandatangani oleh Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Zakaria Shaaban manakala MCMC diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. Majlis disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil serta kepimpinan kanan kedua-dua kementerian dan agensi.
Kerjasama ini turut melibatkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Antara Agensi JIM-MCMC yang akan bertanggungjawab memperkukuh penyelarasan operasi dan siasatan dalam menangani landskap jenayah yang semakin kompleks serta dipacu teknologi digital.
Dalam majlis yang sama, JIM turut memeterai Perjanjian Jual Beli Bangunan bagi premis yang bakal dijadikan Ibu Pejabat baharu JIM Negeri Sembilan. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kementerian bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan melalui persekitaran kerja yang lebih kondusif, cekap dan mesra pelanggan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Kedua-dua inisiatif yang dimeterai pada hari ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri dalam memperkukuh keselamatan dan penguatkuasaan negara, memperkasa keupayaan agensi serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkualiti kepada rakyat.

