KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merancang pelaksanaan penggunaan teknologi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan kecerdasan buatan (AI) secara berperingkat di perairan negara, termasuk di Langkawi, bagi memperkukuh kawalan keselamatan maritim.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata inisiatif tersebut adalah selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2026-2030 dan Pelan Strategik Kecerdasan Buatan KDN 2026-2030.
“Penggunaan UAV akan bertindak sebagai pengganda keupayaan kepada aset kapal dan bot sedia ada melalui pelaksanaan pemantauan udara secara real time, khususnya di kawasan luas.
“Teknologi ini akan membantu meningkatkan keupayaan pengesanan awal terhadap pergerakan bot-bot yang mencurigakan,” katanya ketika menjawab soalan Yang Berhormat Langkawi mengenai tahap kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata KDN juga turut meneliti penggunaan teknologi analitik ramalan berasaskan kecerdasan buatan bagi membantu menganalisis corak pergerakan, faktor geografi, serta data cuaca untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan meramal potensi ancaman keselamatan maritim.
Shamsul Anuar berkata sebagai langkah jangka panjang bagi memperkukuh kawalan keselamatan di utara Langkawi, kerajaan juga sedang meneliti cadangan mewujudkan Perkalan Operasi Hadapan Bersepadu di Teluk Ewa, Langkawi.
“Perkalan tersebut akan menempatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pasukan polis marin, dan Pasukan Gerakan Am secara bersama.
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan penyelarasan operasi serta agensi, mempercepatkan masa tindakan balas, serta memperkukuh keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan dalam memeriksa jenayah rentas sempadan,” katanya.
Mengenai tahap kesiapsiagaan semasa, beliau berkata APMM dan pasukan polis marin melaksanakan rondaan laut 24 jam sehari serta operasi penguatkuasaan berasaskan risikan secara bersepadu melalui pendekatan “whole of government”.
Katanya, Maritim Negeri Kedah Perlis diperkukuh dengan 294 pegawai dan anggota, serta sejumlah aset maritim yang terdiri daripada 3 buah kapal dan 14 buah bot yang ditempatkan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah Perlis, Perkalan Maritim Kuala Kedah, dan Perkalan Maritim Kuala Perlis.
Bagi pasukan polis marin pula, beliau berkata Markas Operasi Langkawi mempunyai 5 pegawai kanan polis dan 53 pegawai rendah polis dengan 2 buah kapal dan 4 buah bot, manakala Makmal Taktikal Kuala Perlis dan Makmal Taktikal Kuala Kedah masing-masing mempunyai 8 dan 17 pegawai rendah polis serta 2 buah bot.
Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa APMM menggunakan sistem pengawasan laut SWASLA bagi mengesan kontak dan aktiviti yang mencurigakan di kawasan perairan negara.


