Kerajaan Perkukuh Keselamatan ESSZone Dengan Aset Baharu
KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Sabah Timur (ESSCom) bersama agensi keselamatan persekutuan terus memperkukuh tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) menerusi pendekatan bersepadu yang merangkumi operasi keselamatan, pembangunan infrastruktur strategik, serta perolehan dan pemodenan aset ketenteraan dan penguatkuasaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan pengawasan, penguatkuasaan, dan tindak balas terhadap ancaman keselamatan rentas sempadan di kawasan berkenaan.
“Antara aset dan kemudahan strategik yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memperkukuh kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah ialah penempatan sistem Big Eyes yang dilengkapi radar dan kamera jarak jauh di Pulau Ligitan, Tawau, bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal di kawasan berisiko tinggi,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kalabakan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata kerajaan turut melaksanakan perolehan aset baharu dan program pemodenan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan pasukan polis marin, Pasukan Gerakan Am (PGA), VAT 69 Komando, dan Unit Tindakan Khas (UTK).
Menurut beliau, perolehan tersebut merangkumi:
- Empat buah kapal untuk kegunaan pasukan polis marin PDRM, iaitu sebuah Patrol Vessel (PTV) di Lahad Datu yang kini dalam proses perolehan, serta dua buah kapal ronda kelas PZ di Sandakan dan Lahad Datu yang sedang menjalani kerja long refit.
- 21 buah bot ronda yang akan ditempatkan di seluruh Sabah, meliputi dua buah bot ronda kelas FPC untuk pasukan polis marin di Sandakan dan Lahad Datu (dalam proses pembinaan), serta enam buah bot ronda FPV untuk pasukan polis marin di Sandakan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau, dan Semporna.
- 10 buah bot operasi khas, terdiri daripada empat buah bot tempur untuk pasukan polis marin dan PGA di Sandakan dan Lahad Datu, serta enam buah bot polkat untuk PGA di Beluran, Kota Kinabalu, Kunak, Lahad Datu, Semporna, dan Tawau yang kesemuanya dalam proses perolehan.
- 65 unit enjin sangkut (outboard motor/OBM) untuk kegunaan pasukan polis marin dan PGA di Sabah yang kini dalam proses pembekalan.
- 12 unit enjin berkuasa 400 kuasa kuda bagi bot tempur VAT 69 Komando dan Unit Tindakan Khas di Sandakan dan Semporna.
“Kita banyak lagi perolehan yang ada, sama ada di agensi penguatkuasa, polis marin, dan sebagainya. Butiran lanjut akan saya berikan secara bertulis,” kata Shamsul Anuar.
Langkah memperkukuh keselamatan di ESSZone ini adalah kesinambungan usaha kerajaan sejak penubuhan ESSCom pada tahun 2013 berikutan pencerobohan Lahad Datu, bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat di Pantai Timur Sabah terus terjamin.

