Kerajaan Kaji Penstukturan Semula Gaji Anggota Polis

March 6, 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang membuat kajian pengstrukturan semula gaji anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau mengakui gaji dan elaun sara hidup anggota pasukan keselamatan tersebut berada di tahap yang rendah dan tidak memadai, khususnya bagi anggota yang menetap di bandar-bandar besar.

“Kerajaan dan KDN sedang dalam pelaksanaan kajian sistem saraan perkhidmatan awam, ini termasuk bagi anggota polis. Ia turut meliputi kajian berkaitan elaun sara hidup membabitkan semua anggota di bawah KDN (termasuk anggota polis).

“Buat masa ini, sebagai contoh, elaun sara hidup (anggota polis) diberi mengikut lokasi penempatan mereka, iaitu pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan.

“Kerajaan sedar kadar ini rendah dibanding kos hidup semakin tinggi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Maka kementerian telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menilai aspek ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu apakah tindakan KDN dalam usaha menaikkan kadar elaun sara hidup anggota polis yang disifatkan sebagai masih rendah, terutama bagi yang menetap di kawasan bandar.

Menjawab soalan asal Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Shamsul Anuar berkata, gaji pokok bagi seseorang anggota polis tidak statik dan sentiasa dikaji.

“Ia tidak statik kerana KDN akan sentiasa mengkaji dan anggota akan terima pergerakan gaji tahunan apabila genap setiap tahun perkhidmatan.

“Emolumen merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan elaun lain diberikan berdasarkan penugasan , kepakaran dan risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebih paras gaji minimum sebanyak RM1,500 yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Jelas Shamsul Anuar, emolumen diterima pegawai rendah polis berpangkat Konstabel YA1, gaji pokok mereka adalah RM1,441, tidak termasuk elaun.

“Mereka turut menerima imbuhan tetap perumahan iaitu RM300, imbuhan tetap perkhidmatan awam (RM115), imbuhan sara hidup sebanyak RM350, bayaran insentif perkhidmatan (RM200), dan gaji kasar adalah RM2,404.

“Kenaikan gaji tahunan gred YA1 ialah RM105. Jumlah gaji kasar tak termasuk elaun mengikut bidang penugasan dan penempatan anggota berkenan,” katanya.

Sehingga 31 Januari lalu, sejumlah 27 bayaran insentif dan eluan dinikmati anggota polis dan antara insentif berasingan yang diterima mengikut bidang penugasan adalah bagi pemusnah bom, insentif pertukangan, insentif khas juruterbang dan penyelenggara kapal berlesen. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2024/03/06/kerajaan-kaji-penstukturan-semula-gaji-anggota-polis/

Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1220169/kdn-kaji-emolumen-anggota-polis
UMNO Online: https://umno-online.my/2024/03/06/kerajaan-sedang-tambah-baik-sistem-saraan-pdrm-shamsul-anuar/
Free Malaysia Today: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/06/kerajaan-akui-gaji-elaun-polis-rendah/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help