Kerajaan Kaji Elaun Anggota Keselamatan KDN

July 20, 2023

SEREMBAN – Kerajaan sedang mengkaji untuk menambah elaun agensi keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di seluruh negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan mereka yang memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan negara.

“Ketika ini, terdapat 35 jenis elaun dan bayaran insentif sedang dinikmati oleh anggota polis dan terdapat lima lagi elaun sedang dalam kajian.

“Bagi permohonan pertambahan perjawatan, sebanyak tujuh cadangan pengukuhan perjawatan sedang dalam pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah KDN dengan Kerjasama PBLT Sdn Bhd dan PDRM di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Pengerusi PBLT Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Seri (Dr) Mazlan Lazim.

Selain itu katanya, kerajaan juga bersetuju menyediakan 200 buah motosikal berkuasa tinggi bagi penugasan kawalan keselamatan.

Jelasnya, ia melibatkan anggaran kos penyewaan sebanyak RM84 juta bagi tempoh lima tahun.

“Semua inisiatif dan kelulusan peruntukan tambahan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan PDRM di samping menjaga kebajikan anggota.

“Ini selaras dgn prinsip Malaysia Madani yang menekankan kepada nilai kesejahteraan dan ihsan bagi memastikan semua lapisan masyarakat tidak terabai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus proaktif untuk menjaga kebajikan seluruh penjawat awam terutamanya anggota keselamatan yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara.

Tambahnya, pihak kerajaan juga berterima kasih kepada pihak swasta yang turut prihatin dalam membantu meringankan beban penjawat awam melalui pemberian sumbangan dalam pelbagai bentuk.

Dalam pada itu beliau berkata, pemberian zakat wakalah berkenaan merupakan inisiatif yang bertepatan dengan prinsip ihsan dalam Malaysia Madani.

“Ini kerana tanggungjawab sosial kepada masyarakat merupakan tanggungjawab bersama yang bukan sahaja diletakkan di bahu kerajaan.

“Peranan pihak-pihak lain seperti PBLT Sdn Bhd ini sangat dialu-alukan dalam memastikan matlamat Malaysia Madani menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan isu kemiskinan tegar dapat dinoktahkan,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/269251/berita/nasional/kerajaan-kaji-elaun-anggota-keselamatan-kdn

Utusan: https://www.utusan.com.my/berita/2023/07/elaun-agensi-keselamatan-kdn-sedang-dikaji/
Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/07/989851/kerajaan-kaji-tambah-elaun-kakitangan-kdn

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help