Usah kita salahkan sesiapa, keputusan yang diterima oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu mesti dipikul bersama.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, setiap ahli parti perlu bertanggungjawab atas keputusan tewasnya BN dalam PRU15.
“Kita perlu bergerak ke hadapan. Keputusan yang rakyat nyatakan dalam PRU15 mesti kita terjemahkan dengan bekerja dan berbakti kepada rakyat dengan lebih giat serta kuat lagi.
“Kita mesti bersyukur, biarpun BN hanya menang di 30 kawasan parlimen, namun kita masih menjadi kerajaan bersama parti parti lain dalam Kerajaan Perpaduan,” kata Shamsul menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Selain itu, beliau juga mengingatkan ahli UMNO-BN untuk terus memberikan contoh imej yang baik kepada rakyat supaya mereka lebih dekat dengan pemimpin.
Dalam masa yang sama, katanya, sekarang adalah masa dan peluang yang terbaik untuk BN membina semula kekuatan sekaligus rakyat akan dapat menerima parti kembali.
Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Rakyat Lenggong yang melibatkan kepimpinan UMNO Cawangan Merah, kepimpinan UMNO Cawangan Belum Baru dan Air Jada, semalam.
“Terima kasih kepada pimpinan UMNO dan penduduk Kampung Rancangan Merah yang bekerja kuat mempertahankan Kerusi BN di P055 Lenggong.” tambahnya lagi.
Sumber: https://www.bnnewsonline.com/keputusan-pru15-perlu-dipikul-bersama-shamsul-anuar/