PELANCARAN KERANGKA PELAN TRANSFORMASI INDUSTRI MINERAL NEGARA 2021-2030 (TIM 2021-2030)
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri
Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, selaku Pengerusi Majlis Mineral Negara
Yang Berhormat Menteri-Menteri
Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali, Ketua Setiausaha Negara
Ketua-Ketua Jabatan,
Para penggiat industri negara serta hadirin yang dihormati sekalian,
UCAPAN PEMBUKAAN
1. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt atas keizinanNya dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari ini bersempena Majlis Pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030).
LATAR BELAKANG
2. Seperti yang kita sedia maklum, industri mineral merupakan komponen penting dalam pembangunan perindustrian sesebuah negara. Industri ini menyediakan sebahagian besar bahan asas kepada kemajuan industri strategik terutamanya bagi sektor-sektor seperti pembuatan, perkilangan, infrastruktur, tenaga dan pertanian untuk menghasilkan produk-produk bernilai tambah tinggi.
3. Bagi memastikan ia terus berkembang maju seiring dengan industri-industri strategik yang lain, industri mineral memerlukan suatu anjakan dan transformasi supaya lebih agresif untuk bergerak ke hadapan. Sekiranya industri mineral dapat dipacu dengan matlamat yang jelas, saya percaya kita bakal melihat Malaysia menjadi negara tumpuan di peringkat global sebagai hub penting dalam pembangunan industri ini pada masa akan datang.
POTENSI INDUSTRI MINERAL NEGARA
4. Seperti yang kita sedia maklum, negara kita amat bertuah kerana memiliki kepelbagaian sumber mineral yang berpotensi untuk diusaha hasilkan secara optimum. Kajian tinjauan awal yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah menganggarkan nilai sumber mineral negara adalah berjumlah RM4.11 trilion yang merangkumi mineral logam (RM1.03 trilion), mineral bukan logam (RM2.96 trilion) dan mineral tenaga (RM0.12 trilion). Walaupun nilai ini masih merupakan anggaran, hakikat yang perlu kita ketahui adalah Malaysia mempunyai sumber mineral yang sangat bernilai dan mampu menjadi sebahagian kepada penyumbang utama kemajuan ekonomi negara.
5. Melihat kepada kewujudan kepelbagaian sumber mineral yang tersebar di seluruh negara, ia bukan sahaja memberikan pendapatan kepada negara, malahan banyak memberi manfaat kepada kemajuan ekonomi negeri-negeri melalui aktiviti perlombongan dan pengeksportan bahan mineral yang dijalankan.
PRINSIP KEBERTANGGUNGJAWABAN DAN KEMAMPANAN DALAM PEMBANGUNAN INDUSTRI MINERAL
6. Namun begitu, dalam kerancakan untuk meneroka potensi bahan mineral ini, industri mineral tidak terkecuali dipandang sebagai industri yang banyak memberi impak kerosakan terhadap alam sekitar, sistem biodiversiti negara dan kesejahteraan masyarakat setempat.
7. Oleh yang demikian, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bertanggungjawab memastikan sumber mineral diuruskan secara efisien dan bertanggungjawab. Penekanan terhadap prinsip kebertanggungjawaban dan kemampanan dalam menjalankan aktiviti perlombongan, pengeksplorasian, pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan mineral akan dijadikan sebagai agenda utama Kementerian agar ia memberi impak langsung kepada rakyat serta pada masa sama tidak membawa kesan negatif kepada alam sekitar, biodiversiti dan juga hutan.
8. Perkara ini amat penting untuk dilaksanakan dengan cekap bagi memastikan industri mineral dapat diangkat ke satu tahap yang lebih maju, dan dalam masa yang sama melalui usaha dan perancangan yang teratur, prinsip pembangunan yang bertanggungjawab dan mampan diberikan penekanan yang serius.
9. Bagi tujuan tersebut, Kementerian ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM87.2 juta bagi melaksanakan gerak kerja berkaitan pembangunan industri mineral negara di bawah peruntukan Belanja Pembangunan RMKe-12, JMG. Ini merangkumi aktiviti-aktiviti seperti penilaian sumber mineral negara, pembangunan sistem pemantauan bersepadu lombong dan kuari, penarafan kemampanan industri perlombongan dan pengkuarian menggunakan kaedah Sustainable Development Indicators (SDI) dan inovasi dan pengkomersilan produk mineral negara.
10. Kementerian ini juga amat mengalu-alukan kerjasama antara agensi Kerajaan dengan penggiat industri bagi memajukan lagi industri mineral dengan lebih cekap dan berkesan serta memberi penekanan kepada aspek perlombongan mampan. Bagi tujuan tersebut, pada hari ini juga, kita akan menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama dalam bidang pembangunan industri mineral negara, iaitu di antara Jabatan Mineral dan Geosains dengan syarikat Ranhill Berhad dan di antara Jabatan Mineral dan Geosains dengan Malaysian Chamber of Mines (MCOM).
HALA TUJU PEMBANGUNAN INDUSTRI MINERAL NEGARA DAN KERANGKA PELAN TRANSFORMASI INDUSTRI MINERAL NEGARA 2021-2030
11. Bagi membangunkan industri mineral negara secara menyeluruh, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah menyediakan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 atau TIM 2021-2030 yang bertujuan mengarusperdana pengurusan industri mineral bagi mencapai pembangunan mampan dan mengukuhkan asas ekonomi dengan menjadikan sumber mineral sebagai sumber kekayaan baharu negara.
12. Kerangka Pelan TIM 2021-2030 menyediakan perancangan yang bersifat terangkum, di mana Kementerian mensasarkan untuk membangunkan industri mineral secara menyeluruh dan bersepadu melalui transformasi di setiap peringkat rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran.
13. Kerangka pelan dibangun berasaskan kepada 5 teras utama merangkumi tadbir urus dan perundangan, pembangunan rantaian nilai industri mineral, pemetaan dan inventori sumber mineral, teknologi dan inovasi serta pembangunan modal insan. Pelan TIM 2021-2030 mensasarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri mineral di Malaysia akan berkembang dalam rantaian nilai yang lengkap dari peringkat huluan hingga hiliran khususnya bagi mineral-mineral yang strategik.
PENUTUP
14. Akhir kata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan memastikan sasaran yang ditetapkan sepanjang 2021 hingga 2030 berjaya dicapai mengikut garis masa yang telah dirancang. Sehingga menjelangnya tahun 2030, Kementerian mengharapkan agar industri mineral dapat memberi sumbangan signifikan pada ekonomi negara terutama dari aspek saiz ekonomi industri mineral, pembangunan modal insan, sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan asing dan domestik serta peluang pekerjaan.
Sekian, terima kasih.