Kenyataan MediaKenyataan Media: Malaysia Perkasakan Tindakan Strategik Untuk Menyelamatkan Harimau Malaya Yang Semakin Pupus

July 3, 2021
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/07/210123634_4300597823295445_4084072262498343923_n.jpg

MALAYSIA PERKASAKAN TINDAKAN STRATEGIK UNTUK MENYELAMATKAN HARIMAU MALAYA YANG SEMAKIN PUPUS

1. Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 telah bersetuju dengan tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya untuk tempoh pelaksanaan 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030.

2. Harimau Malaya merupakan spesies ikonik Malaysia yang menjadi simbol Jata Negara. Harimau Malaya memainkan peranan penting dalam ekosistem sebagai spesies pemangsa apeks (apex predator). Ia mendominasi rantaian makanan yang mengawal populasi spesies mangsa dan menjaga keseimbangan ekosistem. Kepupusan Harimau Malaya akan menjejaskan rantaian ekosistem dan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada manusia dan hidupan liar lain.

3. Survei Harimau Kebangsaan Pertama (First National Tiger Survey – NTS1) yang dilaksanakan pada tahun 2016 hingga 2020 di landskap hutan-hutan Central Forest Spine (CFS) Semenanjung Malaysia, mendapati bahawa populasi Harimau Malaya di habitat asal berada pada tahap yang amat membimbangkan. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli perlu menerajui tindakan-tindakan luar biasa (extraordinary actions) bagi memastikan negara tidak akan kehilangan spesies ikonik buat selama-lamanya. Satu kumpulan pakar telah ditubuhkan oleh Kementerian ini yang terdiri daripada pakar-pakar konservasi Harimau Malaya termasuk pengurusan Taman Negeri dan Badan-badan Bukan Kerajaan untuk memberikan input berkaitan tindakan-tindakan strategik bagi menangani krisis Harimau Malaya.

4. Tindakan-tindakan strategik telah dikenalpasti untuk mengukuhkan inisiatif sedia ada terutamanya dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan habitat Harimau Malaya serta aktiviti penguatkuasaan. Di samping itu, inisiatif baharu yang lebih berimpak tinggi akan dilaksanakan termasuk rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) dalam kawasan habitat Harimau Malaya bagi membanteras penceroboh dan pemburu haram. Rekod sepanjang tempoh 2011 hingga 2020 menunjukkan sebanyak 5,287 bahagian anggota badan Harimau Malaya yang diseludup telah dirampas.

5. Kementerian juga sedang melaksanakan proses pindaan ke atas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] supaya kadar hukuman dan penalti yang lebih berat dikenakan bagi kesalahan memburu spesies-spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya termasuk Harimau Malaya. Pindaan ke atas Akta 716 ini akan dibentangkan di sidang Parlimen yang akan datang. Di samping itu, enakmen berkaitan kawasan perlindungan akan diperkukuhkan khususnya dalam aspek meningkatkan kadar penalti bagi kesalahan jenayah hidupan liar sebagai salah satu pendekatan pencegahan (deterrent).

6. Di peringkat serantau, aspek penguatkuasaan diperkasakan melalui platform ASEAN Working Group on CITES and Wildlife Enforcement (AWG-CITES & WE) di mana Kementerian ini adalah national focal point bagi kumpulan kerja ini. Malaysia juga menjalinkan kerjasama erat dalam aktiviti penguatkuasaan dan perkongsian maklumat dengan INTERPOL sejak tahun 2016.

7. Pemuliharaan habitat juga dapat menangani isu konflik manusia dan hidupan liar termasuk insiden hidupan liar yang mati langgar di jalan-jalan raya (roadkill) di negara ini yang menunjukkan trend yang semakin meningkat. Kejadian Harimau Malaya yang kehilangan habitat, diburu dengan kejam dan terseksa sehingga tidak bermaya akibat terkena jerat amat menyedihkan dan insiden sebegini tidak seharusnya terjadi.

8. Bagi menjamin kesinambungan kompleks hutan di CFS, Kementerian akan mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam usaha untuk memulih, mengekal dan meningkatkan connectivity kawasan keliaran Harimau Malaya.

9. Selain memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di habitat semula jadi (in-situ), usaha konservasi ex-situ adalah kritikal kerana populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi adalah sangat rendah. Oleh yang demikian, Kementerian ini akan memperkasakan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bagi memperhebatkan pengawasan penyakit zoonotik dan memperkasa konservasi ex-situ termasuk program bio-banking atau sejukbeku (cryopreservation) semen dan oosit Harimau Malaya sebagai safety net serta meningkatkan kapasiti kepakaran tempatan.

10. Selaras dengan usaha tersebut, Kementerian ini akan meningkatkan kerjasama strategik dalam konservasi ex-situ dengan universiti, institusi penyelidikan tempatan, zoo dan badan bukan Kerajaan.

11. Tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya juga akan diperkukuhkan melalui penubuhan National Tiger Conservation Task Force (NTCTF). NTCTF akan mengadakan mesyuarat pertamanya bersama Kementerian-kementerian dan Kerajaan-kerajaan Negeri berkaitan. Penganjuran mesyuarat ini menunjukkan komitmen yang tinggi dan kesepakatan Kerajaan dalam menangani krisis Harimau Malaya. Selain itu, cadangan penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN dan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia akan diperhalusi melalui perbincangan lanjut bersama agensi-agensi yang berkaitan.

12. Kementerian juga akan meneroka instrumen kewangan inovatif bagi melindungi dan memulihara habitat utama Harimau Malaya melalui Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries (REDD Plus). Selain itu, pengurusan habitat Harimau Malaya akan dipertingkatkan melalui akreditasi seperti Skim Pensijilan Kayu Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme – MTCS) dan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO). Inisiatif-inisatif di atas akan dapat meningkatkan reputasi Malaysia dalam pengurusan biodiversiti dan memudahkan akses produk ke pasaran premium.

13. Malaysia sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya selaras dengan komitmen sebagai negara parti kepada Convention on Biological Diversity (CBD) sejak 1994 dan Tiger Summit Declaration 2010.

14. Sesungguhnya kejayaan pelaksanaan tindakan-tindakan strategik konservasi Harimau Malaya adalah tanggungjawab kita bersama untuk menyelamatkan spesies ikonik negara daripada diancam kepupusan.

YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI

#lenggong #geopark #parlimenlenggong #teamDSAN #gerik #BiodiversitiSekelilingKita #teamDSAN #pelancongan #rumahtiang16 #akisgallery #gerik #ketsa

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links