Kenyataan Media: Majlis Perasmian Program Penghijauan Malaysia Di Dataran Tasik Raban

April 10, 2021

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PENGHIJAUAN MALAYSIA : TASIK RABAN LENGGONG SEMPENA KEMPEN PENANAMAN 100 JUTA POKOK PERINGKAT NEGERI PERAK

DI DATARAN TASIK RABAN, LENGGONG, PERAK

Terima kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera

Yang Amat Berhormat Dato’ Saarani bin Mohamad
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan

Yang Berusaha Encik Abdul Wahid bin Abu Salim
Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli)
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

Yang Berhormat Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan
Pegawai Kewangan Negeri Perak Darul Ridzuan

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Ridza bin Awang
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Zin bin Yusop
Pengarah Perhutanan Negeri Perak
YBrs. Datuk Ir. Baharin Din
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan Ahli-Ahli Yang Berhormat

Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan dan Negeri

Pegawai-Pegawai Kerajaan Peringkat Persekutuan dan Negeri

Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan Rakan-Rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan para hadirin sekalian.

1. Pertamanya, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Saarani bin Mohamad di atas kesudian meluangkan masa hadir ke majlis yang sangat bersejarah pada pagi ini. Kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ ini mempamerkan keprihatinan dan komitmen pucuk pimpinan tertinggi negeri dalam pengurusan hutan. Di samping itu, saya juga mengalu-alukan kehadiran semua dif-dif jemputan yang hadir secara fizikal ke majlis pada pagi ini di Dataran Tasik Raban, Lenggong, Perak.

Yang Amat Berhormat Dato’ dan hadirin yang dihormati sekalian,

2. Pada 5 Januari 2021, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin telah melancarkan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertempat di perkarangan Seri Perdana, Putrajaya. Pelancaran program ini juga dilaksanakan secara serentak di peringkat negeri oleh Yang Amat Berhormat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri di negeri masing-masing.

3. Pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara kita. Kempen ini juga bertujuan untuk memupuk semangat cintakan alam semulajadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat. Kempen ini boleh diakses oleh orang awam melalui laman web www.100jutapokok.gov.my dan aplikasi mudah alih “Penghijauan Malaysia” yang dibangunkan khusus oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi memantau pelaksanaan kempen secara sistematik.

4. Sehingga kini, kempen yang bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” atau “Greening Malaysia: Our Trees, Our Life” telah berjaya merekodkan penanaman lebih 5.8 juta pokok yang merangkumi lebih 515 spesies di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lebih daripada 100,000 pokok pelbagai spesies telah ditanam di Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Dato’ dan hadirin yang dihormati sekalian,

5. Litupan kawasan berhutan di Malaysia adalah 55.3 peratus yang meliputi kawasan seluas 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara. Daripada keluasan itu, 43.6 peratus adalah di Semenanjung Malaysia, 64.5 peratus di Sabah dan 62.3 peratus di Sarawak. Justeru, keluasan kawasan berhutan ini wajar dipelihara dan dipulihara oleh kita semua. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan-kerajaan Negeri serta agensi kerajaan yang berkaitan melalui pelbagai platform antaranya seperti Majlis Tanah Negara bagi memastikan komitmen tersebut akan terus kekal terpelihara.

6. Sokongan dan penglibatan badan-badan korporat, syarikat-syarikat swasta dan Government Linked Companies (GLCs) amat digalakkan dalam menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan pada ketika ini. Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan syabas kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana telah menyahut saranan kempen ini dengan menyalurkan sumbangan anak pokok bagi tujuan penanaman pada hari ini. Penglibatan dan sumbangan yang dilakukan TNB sebagai salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) seharusnya dicontohi oleh pihak-pihak lain.

7. Saya dimaklumkan bahawa TNB telah bergiat aktif untuk program penanaman pokok sejak 2009. Sehingga kini, sebanyak lebih 60 ribu pokok telah ditanam oleh TNB di seluruh negara. Di negeri Perak sahaja, sebanyak lebih 17 ribu pokok bakau telah ditanam di daerah Manjung sejak 2013 dan dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa. Semua program penanaman pokok ini adalah hasil kerjasama yang erat di antara TNB, kerajaan dan NGO tempatan. Saya berharap usaha murni ini akan dikekalkan dan dipergiatkan lagi.

8. Di kesempatan ini, saya juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Perak atas inisiatif Program Bumi Hijau dan Perak Oxygen Land Bank (POLB) yang telah dilaksanakan. Inisiatif ini merupakan program penanaman pokok dan pokok angkat yang ditawarkan kepada badan korporat, syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan individu yang berminat melalui pendekatan CSR. Adalah diharapkan inisiatif ini dapat menyemarakkan pembudayaan Program Penghijauan Malaysia yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Yang Amat Berhormat Dato’ dan hadirin yang dihormati sekalian,

9. Hutan menyumbang pelbagai fungsi yang sangat signifikan kepada pembangunan sosiaekonomi. Penguatkuasaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 [Akta 795] misalnya penting kepada Malaysia yang merupakan antara 12 buah negara di dunia yang paling kaya dengan khazanah biodiversiti. Akta 795 yang telah dikuatkuasakan pada 18 Disember 2020 bertujuan memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi diakses dengan jaminan perkongsian faedah serta mengelakkan berlakunya kegiatan mencuri sumber biologi negara (biopiracy). Langkah ini berupaya menjana sumber kekayaan baharu kepada negara dan memberi faedah kewangan dan bukan kewangan kepada masyarakat peribumi dan komuniti setempat.

10. Selain itu, KeTSA juga akan turut memperkasakan sektor ekopelancongan sumber asli negara bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan komuniti setempat yang terkesan akibat daripada pandemik COVID-19. Pemerkasaan destinasi-destinasi ekopelancongan di bawah seliaan KeTSA seperti Taman Negara, Taman Ekorimba, Hutan Taman Negeri dan Tapak Geopark akan turut memberi perhatian dan penekanan kepada meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat.

11. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, purata pendapatan bulanan isirumah bagi komuniti yang tinggal dalam, berhampiran atau bersempadanan dengan kawasan hutan di Semenanjung Malaysia adalah sekitar RM2,145 di mana dianggarkan 8% (RM175) disumbangkan dari aktiviti berkaitan kawasan hutan. Justeru, dengan pelaksanaan program penghijauan Malaysia ini, peningkatan pendapatan komuniti setempat juga boleh ditingkatkan melalui penubuhan laman nurseri komuniti seperti mana yang dilakukan oleh komuniti Kuala Gula, Perak. Penglibatan komuniti melalui penubuhan laman nurseri komuniti ini secara tidak langsung turut membuka peluang pekerjaan selain meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti memelihara sumber hutan.

Yang Amat Berhormat Dato’ dan hadirin yang dihormati sekalian,

12. Saya dimaklumkan bahawa terdapat sebanyak 51 spesies pokok tempatan yang mempunyai nama sinonim dengan nama tempat dalam Negeri Perak. Antaranya Pokok Beruas, Pokok Ipoh, Pokok Kangsar, Pokok Keruing, Pokok Sungkai, Pokok Merbau dan lain-lain lagi yang kesemuanya adalah sinonim dengan nama-nama tempat yang terdapat di Negeri Perak. Sempena majlis pada hari ini, sebanyak 21 spesies pokok tempatan yang sinonim dengan nama tempat dalam Negeri Perak akan ditanam dan satu “Petak Khas Pokok Yang Sinonim Dengan Nama Tempat Dalam Negeri Perak” akan dilancarkan penubuhannya di kawasan Tasik Raban ini.

13. Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli, saya ingin mengulangi komitmen bahawa pelbagai inisiatif dan program konservasi hutan dan biodiversiti di negara ini akan terus dipergiat, ditambahbaik dan diperkasakan lagi. Bagi sektor perhutanan, tumpuan akan diberikan kepada agenda penghijauan Malaysia bagi meningkatkan pemuliharaan hutan menerusi aktiviti penanaman pokok, rehabilitasi dan restorasi kawasan hutan terosot dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas.

14. Usaha berterusan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kawasan hutan dan pemeliharaan flora serta fauna sebagai satu sumber yang perlu diuruskan secara mampan akan terus diberikan penekanan demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan serta melipatgandakan usaha bagi menjayakan agenda nasional Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

Yang Amat Berhormat Dato’ dan hadirin yang dihormati sekalian

15. Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan kerana sudi melapangkan masa bagi merasmikan Program Penghijauan Malaysia: Tasik Raban Lenggong sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak pada hari ini.

16. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kehadiran pemimpin-pemimpin peringkat Negeri dalam majlis ini kerana ia menzahirkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Negeri yang tinggi terhadap sektor perhutanan, khususnya dalam usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang merupakan khazanah negara yang amat berharga. Selain itu, ucapan terima kasih juga kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak selaku penganjur majlis pada hari ini.

17. Akhirnya, saya mendoakan agar kerjasama dan kesefahaman yang terjalin di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri akan terus utuh bagi memastikan khazanah hutan kita akan terus diuruskan secara bertanggungjawab dan berkekalan demi kesejahteraan hidup masyarakat generasi hari ini dan masa hadapan.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI

10 April 2021

#parlimenlenggong #SayangiLenggong #akisgallery #JPSM #rumahtiang16 #teamDSAN #gerik #BNComms #persatuankomunitipelancongan76lenggong #geopark #teamDSAN

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help