MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN ORANG ASLI SEBAGAI RENJER HIDUPAN LIAR BAGI BIODIVERSITY PROTECTION AND PATROLLING PROGRAMME
5 APRIL 2021 (ISNIN), DEWAN BESAR, KOLEJ KEMAHIRAN TINGGI MARA LENGGONG, PERAK
YBHG DATO’ ABDUL KADIR ABU HASHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN)
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
1. Pertamanya, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kerana menjemput saya hadir untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar bagi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme – BP3) pada pagi ini.
2. Malaysia bumi bertuah ini merupakan antara 12 buah negara yang paling kaya dengan flora dan fauna di mana hampir 70 peratus spesies yang diketahui di dunia terdapat di negara kita. Kepelbagaian hidupan ini memberi signifikan yang besar kepada kehidupan manusia termasuk dalam memastikan bekalan air yang cukup dan bersih, penampan bencana alam, pendebungaan spesies tumbuhan serta untuk kegunaan rekreasi.
3. Walau bagaimanapun, kekayaan hutan dan hidupan liar ini berisiko untuk pupus akibat tindakan tidak bertanggungjawab seperti aktiviti pembalakan haram dan pemburuan haram hidupan liar. Sekiranya jenayah ini tidak dikawal, ia boleh menjejaskan populasi hidupan liar termasuk kehilangan spesies ikonik negara iaitu Harimau Malaya buat selama-lamanya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
4. Saya selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam menjaga khazanah hutan dan hidupan liar di negara ini, amat komited untuk menerajui usaha bagi memastikan khazanah bumi kita dipulihara, digunakan secara mampan serta faedah yang terhasil daripadanya dikongsi secara adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan negara pada masa kini dan masa hadapan.
5. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan PERHILITAN bagi melindungi kawasan perlindungan yang menjadi habitat hidupan liar. Usaha ini melibatkan kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri, agensi-agensi penguatkuasaan serta badan bukan kerajaan (NGO). Pelbagai kempen juga telah dijalankan dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti negara dan memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan khazanah hutan dan hidupan liar.
6. Sejak tahun 2001, Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam membanteras pencerobohan kawasan perlindungan dan pemburuan haram hidupan liar melalui pelbagai operasi penguatkuasaan bersama iaitu Ops Jelai 1 hingga Ops Jelai 13, Ops Bintang Hijau dan Ops Bamboo. Kerjasama ini dipertingkatkan pada tahun 2014 hingga 2018 melalui program 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON).
7. Bagi menggantikan Program 1MBEON, Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan Ops Belang dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang melibatkan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan NGO. Pada tahun 2020, OBK telah berjaya menangkap sebanyak 32 kes melibatkan 64 orang pesalah dengan nilai rampasan sebanyak RM636,600.00 dan sebanyak 433 jerat telah dimusnahkan.
8. Paling membanggakan apabila OBK telah terpilih antara pemenang Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 di Majlis Asia Environmental Enforcement Awards ke-5 anjuran United Nations Environment Programme (UNEP) pada 17 Februari 2021 yang lalu. Pengiktirafan ini wajar dijadikan pencetus semangat untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
9. BP3 yang bermula secara rasmi pada 16 Jun 2020 adalah pengukuhan kepada OBK melibatkan pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli untuk membantu melaksanakan tugas-tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan di dalam kawasan perlindungan serta Hutan Simpanan Kekal (HSK) di seluruh Semenanjung Malaysia. Seramai 225 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli telah dilantik pada tahun 2020. Kepakaran Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes-kes di kawasan hotspot pencerobohan, pemburuan haram, pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.
10. Program BP3 diperkukuhkan pada tahun ini melibatkan pelantikan 600 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Veteran Polis Diraja Malaysia (VPDRM) dan Orang Asli serta peningkatan kawasan liputan penguatkuasaan di kawasan habitat utama Harimau Malaya seluas 20,000 kilometer persegi dengan peruntukan sebanyak RM32 juta.
11. Saya dimaklumkan bahawa Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli yang bakal menerima watikah pelantikan masing-masing pada hari ini baharu saja menamatkan kursus Latihan Asas. Saya difahamkan bahawa antara latihan yang diberikan ialah asas pengurusan risiko; polisi dan perundangan hidupan liar; operasi penguatkuasaan; pengurusan sempadan; pengurusan hidupan liar; inventori dan pemantauan; SMART Patrolling, pelaporan pentadbiran; dan jenayah hidupan liar. Saya mengucapkan syabas kepada semua yang telah dilantik dan menamatkan kursus Latihan Asas.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program BP3. Saya menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam membanteras jenayah hidupan liar hingga ke akar umbi.
13. Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacita merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli sebagai Renjer Hidupan Liar bagi Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) bagi tahun 2021.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.