Kenyataan Media: Majlis Pelancaran & Pelepasan Peserta Program Eksplorasi Ekopelancongan Sumber Asli KeTSA

April 7, 2021

MAJLIS PELANCARAN DAN PELEPASAN PESERTA PROGRAM EKSPLORASI EKOPELANCONGAN SUMBER ASLI KeTSA BERSAMA MEDIA KE NEGERI PERAK

6 APRIL 2021 (SELASA) l 9.00 AM l LOBI KeTSA

Assalamualaikum, Selamat Pagi dan Salam Sejahtera,

Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis

Ketua-Ketua Pengarah

Pegawai-pegawai Kanan Kementerian

Para Peserta Eksplorasi, yang juga Rakan-Rakan Media

Barisan Urus setia

Tuan-tuan dan Puan-puan Hadirin yang dirahmati Allah Sekalian,

Pendahuluan

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi, dapat kita berkumpul pada hari ini untuk sama-sama menjayakan Pelancaran Program Eksplorasi Ekopelancongan Sumber Asli KeTSA Bersama Media ke Negeri Perak yang akan berlangsung selama 3 hari 2 malam mulai 6 hingga 8 April 2021. Dalam suasana ekonomi negara yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19, saya percaya bahawa program eksplorasi ini merupakan satu usaha yang amat baik dalam membantu pemulihan ekonomi negara dan rakyat melalui sektor ekopelancongan.

2. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan media yang dapat menyertai program ini. Dengan bertemakan ‘#Jelajah KeTSA’, Kementerian akan terus komited dan berusaha untuk mewujudkan perkongsian pintar bersama media sebagai rakan informatif dan perkongsian pintar yang berterusan bagi mempromosikan lokasi ekopelancongan sumber asli di bawah seliaan Kementerian.

Hadirin sekalian,

3. Malaysia merupakan sebuah negara berstatus mega diversiti yang dianugerahkan sumber asli yang bernilai tinggi serta berpotensi untuk diteroka bagi menjana sumber ekonomi baru. Kelestarian khazanah sumber asli ini merupakan rahmat Ilahi kepada manusia yang wajib dijaga, dipelihara dan dipulihara agar kita dapat menikmati kesejahteraan secara berterusan. Seiring dengan maqasid syariah, pengurusan alam secara berakhlak akan membolehkan kepentingan asas masyarakat terpelihara. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam:

“Dunia ini hijau dan cantik, dan sesungguhnya ALLAH telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan” (HR : Muslim)

4. Sebagai peneraju kelestarian sumber asli negara, Kementerian ini akan terus komited dalam meningkatkan perkembangan produk ekopelancongan sumber asli ke arah memastikan khazanah tersebut terus terpelihara untuk diwarisi generasi akan datang. Perkara ini juga telah digariskan sebagai salah satu inisiatif Kementerian di bawah tawaran baharu bagi mengangkat lokasi-lokasi ekopelancongan sumber asli sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.

5. Bagi maksud tersebut, KeTSA melalui Jabatan-Jabatan bertanggungjawab seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan menggiatkan usaha bagi menawarkan produk-produk ekopelancongan yang lebih bernilai tinggi kepada para pengunjung.

Hadirin sekalian,

6. Saya dimaklumkan bahawa peserta-peserta eksplorasi akan menelusuri beberapa lokasi ekopelancongan yang menarik di sekitar Negeri Perak. Di antara lokasi yang bakal dilalui adalah :
(i) Muzium Geologi;
(ii) Galeri Geopark;
(iii) Taman Ekorimba Kledang Saiong;
(iv) Taman Ekorimba Lata Kekabu;
(v) Tapak Arkeologi Bukit Bunuh;
(vi) Gua Kajang; dan
(vii) Pulau Tali Kail.

7. Saya percaya destinasi-destinasi yang disusun untuk program ini akan dapat menimbulkan rasa kesedaran, kefahaman serta menaikkan semangat keinginan untuk sama-sama kita berusaha memelihara, memulihara serta melindungi khazanah sumber asli negara sebagai tunjang dalam ekosistem kehidupan flora dan fauna.

8. Kita juga amat bersyukur apabila sektor ekopelancongan sumber asli turut diberikan fokus dalam Belanjawan 2021. Berdasarkan Inisiatif Belanjawan Negara 2021, KeTSA telah disediakan peruntukan berjumlah RM9.0 juta bagi melaksanakan Program Reskill Upskill Latihan Ekopelancongan. Tujuan program ini adalah bagi membekalkan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling) terhadap kumpulan sasaran komuniti setempat dan Orang Asli yang menetap di lokasi-lokasi ekopelancongan sumber asli di bawah seliaan KeTSA. Hasil program ini dijangka akan meningkatkan kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan komuniti setempat dan Orang Asli dalam sektor ekopelancongan iaitu sebagai Jurupandu Pelancong, Malim Gunung Perhutanan dan Jurupandu Geopark.

9. Di samping itu, lokasi-lokasi ekopelancongan termasuk Taman Negara, Taman Ekorimba, Hutan Taman Negeri dan Tapak Geopark akan terus diperkasakan dengan penumpuan terhadap aspek pengukuhan tadbir urus, menaiktaraf infrastruktur dan pembangunan produk-produk baru dalam kawasan semulajadi asli di bawah KeTSA. Sejajar dengan perancangan ini, melalui Pakej PEMERKASA di bawah Inisiatif ke 4 : Pelaksanaan Projek-projek Kecil Seluruh Negara, sektor ekopelancongan sumber asli KeTSA dijangka akan menerima peruntukan sebanyak RM16.5 juta pada tahun ini bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di lokasi-lokasi terpilih. Kesemua usaha ini akan dijalankan melalui jaringan kolaborasi strategik dengan agensi-agensi berkaitan serta komuniti setempat.

Hadirin sekalian,

10. Sekali lagi, saya amat menghargai sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak untuk menjayakan program ini. Program sebegini akan dilaksanakan secara berterusan agar semua destinasi ekopelancongan sumber asli yang masih belum diterokai dapat dipromosi dan dibangunkan dengan lebih berkesan. Oleh itu, saya menyarankan agar kita bersama-sama mempromosikan sektor ekopelancongan sumber asli yang sememangnya mempunyai keunikan tersendiri seperti nilai sejarah warisan ketamadunan, sumber geologi, biodiversiti, hidupan liar serta kebudayaan.

11. Akhir kata, kepada semua peserta, saya ingin berpesan agar jaga keselamatan diri dan sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan sepanjang program berlangsung. Selamat menjelajah dan nikmatilah sebaik-baiknya khazanah negara yang tercinta ini.

12. Dengan lafaz ‘Bismillahi Rahman Ar-Rahim’ saya merasmikan Program Eksplorasi Ekopelancongan Sumber Asli KeTSA Bersama Media ke Negeri Perak. Saya doakan keselamatan dan kesejahteraan semua peserta sepanjang perjalanan nanti. Mudah-mudahan kita berhasil mencapai objektif program eksplorasi ini, Insya-Allah.

Assalamualaikum, salam hormat dan terima kasih.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help