MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG KeTSA TAHUN 2020
Assalamu’alaikum warahmatulLahi wabarakaatuh dan salam “Ramadan Kareem”.
YB Datuk Ali Biju
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli;
YBhg. Datuk Zurinah Pawanteh
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli;
YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak
Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga);
YBrs. Tuan Abdul Wahid bin Abu Salim
Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli);
Ketua-Ketua Jabatan;
Yang diraikan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020; dan
YBhg. Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya jua maka kita diberi kesempatan untuk bersama-sama menjayakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi meraikan pegawai-pegawai yang telah menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada tahun 2020 serta Majlis Berbuka Puasa sempena sambutan bulan Ramadan Al-Mubarak yang penuh keberkatan dan kemuliaan.
(ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG)
2. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan suatu pengiktirafan kepada warga KeTSA atas sumbangan dan dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam, baik dalam pelaksanaan tugas rasmi mahupun penglibatan aktif dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan. APC merupakan penghargaan Kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang serta pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai. Pemberian APC diberi kepada sejumlah 8 peratus daripada pegawai yang sedang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian.
3. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 45 orang pegawai Kementerian yang akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebentar lagi. Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) KeTSA telah memilih pegawai daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana berdasarkan prestasi dan kualiti kerja yang amat cemerlang sepanjang tahun 2020.
4. Beberapa kriteria pemilihan telah ditetapkan oleh PPSM bagi memilih pegawai yang layak dengan penekanan diberikan kepada perkhidmatan cemerlang dan berprestasi tinggi. Selain itu, kriteria-kriteria lain termasuk rekod kehadiran pegawai ke pejabat, kekerapan Cuti Sakit Kerajaan/Swasta dan penglibatan aktif pegawai dengan kegiatan luar dari tugas rasmi. Penerima APC akan menerima RM1,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium dan juga Sijil Penghargaan.
5. Saya berharap penganugerahan dan pengiktirafan yang diterima hari ini dapat menyuntik semangat kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang, dedikasi dan penuh iltizam. Saya juga berharap anugerah ini akan menjadi pemangkin kecemerlangan dan menjadi motivasi kepada pegawai-pegawai lain untuk terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik dengan harapan suatu masa nanti tuan-tuan dan puan-puan juga terpilih sebagai penerima APC.
(ANUGERAH SETIA BERKHIDMAT)
Para hadirin yang dihormati sekalian,
6. Majlis ini juga turut merakamkan penghargaan kepada 16 orang warga KeTSA yang telah berkhidmat selama 25 tahun dalam perkhidmatan awam atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan sebagai penjawat awam. Anugerah Setia Berkhidmat (ASB) merupakan satu penghargaan KeTSA terhadap sumbangan yang telah mereka berikan semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam merupakan agen perantara antara rakyat dan kerajaan dan merupakan aset yang amat penting dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik untuk mencapai visi dan misi KeTSA. Penerima ASB akan menerima Sijil Penghargaan dan sumbangan khas.
(ANUGERAH KHAS MENTERI)
Para hadirin yang dihormati sekalian,
7. Pengurusan Tertinggi KeTSA sentiasa komited untuk mengiktiraf budaya kerja cemerlang dan berprestasi tinggi dalam kalangan warga KeTSA. Anugerah Khas Menteri (AKM) bertujuan untuk mengiktiraf pegawai dalam kumpulan kerja berprestasi tinggi yang telah melaksanakan sesuatu program/projek yang telah memberi impak kepada perkhidmatan awam dan negara.
8. Pada tahun ini, pengurusan KeTSA telah memutuskan tiga (3) program/projek untuk menerima AKM Tahun 2020 iaitu pertama, Projek Peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta. Projek ini dilaksanakan dengan kolaborasi dan sinergi yang padu antara KeTSA dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta agensi Kerajaan lain iaitu Unit Kerjasama Awam dan Swasta, MAMPU, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kewangan.
9. Kedua, Program Rebat Bil Elektrik RM40 dan Program Diskaun Bil Elektrik. Program Rebat Bil Elektrik RM40 ialah program khusus kepada kumpulan sasar miskin tegar berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat. Program Diskaun Bil Elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) memberi diskaun bil elektrik sebanyak 2% kepada semua pengguna elektrik dan diskaun 15% kepada 6 sektor komersial terpilih. Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pula, diskaun bil elektrik antara 15% hingga 50% diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan telah memanfaatkan lebih kurang 7 juta pengguna.
10. Ketiga, Program Malaysian Electricity to Attract Renewable Energy Investment (MEnTARI) dan Program Net Energy Metering 3.0. Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan sebanyak 30 projek pembangunan loji jana kuasa solar dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 823MW di bawah Program LSS@MEnTARI yang berupaya menjana pelaburan sebanyak RM3.3 bilion dan mewujudkan sebanyak 9,900 peluang pekerjaan. Manakala, pelaksanaan Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0) akan membolehkan para pengguna menikmati pengurangan bil elektrik melalui pemasangan sistem solar PV di bumbung premis masing-masing.
11. Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan warga KeTSA untuk menghasilkan perkhidmatan yang terbaik. Melalui penganugerahan ini, saya berharap ia dapat mendorong semua pegawai untuk terus mempertingkatkan produktiviti, kreativiti dan inovasi yang berkualiti tinggi dan sekali gus menjadikan perkhidmatan Kerajaan kekal relevan sebagai perkhidmatan yang diyakini oleh rakyat dan menepati kehendak dan ekspektasi pelanggan dan pemegang taruh.
12. Kejayaan yang dicapai oleh KeTSA tidak dapat direalisasikan tanpa peranan yang dimainkan oleh tuan-tuan dan puan-puan. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua penerima anugerah atas usaha gigih yang dipamerkan dan semoga menjadi inspirasi atau role model kepada rakan-rakan yang lain. Semoga khidmat bakti kita kepada negara dapat memberi manfaat kepada rakyat dan diberkati oleh Allah SWT jua. Harus diingat bahawa kecemerlangan ini perlu sentiasa ditambah baik agar menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.
(HARAPAN DAN PESANAN)
Para hadirin yang dihormati sekalian,
(INTEGRITI DAN AKAUNTABILITI)
13. Pada kesempatan ini juga, suka saya menyampaikan beberapa pesanan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua sebagai bekalan untuk menyelusuri hari-hari yang mendatang. Integriti yang tinggi merupakan asas atau tunjang utama kepada kelangsungan kejayaan dan kemakmuran negara. Pegawai awam hendaklah memelihara integriti sepanjang masa dan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti dan hasil kerja ke arah yang lebih baik dan melangkaui kebiasaan. Tidak kira di mana kita ditempatkan, berkhidmatlah dengan penuh integriti, jujur, berdedikasi, ikhlas dan amanah.
(PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN)
14. KeTSA amat memerlukan warga kerja yang profesional, progresif, kreatif, inovatif dan berketerampilan untuk bersama-sama menjayakan semua dasar kerajaan. Saya juga ingin menyarankan warga KeTSA agar terus berusaha untuk mencetuskan idea-dea baru secara aktif untuk sentiasa memperbaiki kualiti dan tahap penyampaian perkhidmatan sektor awam. Jadikanlah berfikiran secara kritis dan konstruktif, khususnya dalam usaha mencari penyelesaian secara kreatif dan inovatif, sebagai satu kelaziman.
(AGEN TRANSFORMASI)
15. Sebagai seorang penjawat awam, kita memainkan peranan sebagai agen transformasi paling hadapan dan menjadi perantaraan antara rakyat dan Kerajaan yang berkesan ke arah menjayakan agenda transformasi negara. Transformasi perkhidmatan awam merupakan satu keperluan dalam era globalisasi, teknologi, inovasi dan kreativiti dalam dunia tanpa sempadan yang berpaksikan pengetahuan. Pegawai yang dapat menghayati agenda transformasi negara amatlah diperlukan supaya KeTSA sentiasa ke hadapan untuk memenuhi ekspektasi rakyat yang memerlukan perkhidmatan yang terbaik daripada penjawat awam dan kerajaan.
(PENGUASAAN ILMU DAN TEKNOLOGI)
16. Dalam ekosistem pembangunan negara yang semakin mencabar dan kompleks, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan keupayaan berfikir dan membuat keputusan dengan cepat, tepat dan bijaksana. Dengan yang demikian usaha-usaha menimba ilmu harus dipertingkatkan dan diteruskan sepanjang perkhidmatan kita. Penguasaan ilmu dan teknologi baharu merupakan wadah yang dapat membuka pintu pengetahuan yang begitu luas dan menjadikan kita lebih baik dari orang lain.
(PENGGUNAAN SOSIAL MEDIA)
17. Kemajuan teknologi membolehkan sesiapa sahaja mendapat pelbagai maklumat, sama ada yang betul atau palsu dengan mudah dan cepat. Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan, media sosial khususnya seperti Whatsapp, Twitter, Instagram dan Facebook menjadi medium penting yang telah banyak mempengaruhi reaksi masyarakat terhadap dasar-dasar dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan. Dalam hal ini, saya menyeru semua warga KeTSA dapat mengoptimumkan penggunaan teknologi khususnya sosial media sebagai wadah untuk meguar-uarkan pencapaian program/aktiviti KeTSA yang telah memberi manfaat dan faedah kepada rakyat.
(PENUTUP)
Para hadirin yang dihormati sekalian,
(SAMBUTAN BULAN RAMADHAN DAN MAJLIS BERBUKA PUASA)
18. Alhamdulillah, saya juga ingin mengambil kesempatan pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa. Hari ini merupakan hari ketiga kita menunaikan ibadah puasa dan saya mendoakan agar kita semua senantiasa diberikan kesihatan dan kesejahteraan diri untuk menjalani ibadah ini hingga ke akhirnya. Sempena bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, KETSA juga menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bagi merapatkan tali persaudaraan dan mewujudkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga KeTSA.
19. Saya tidak bercadang mengambil masa yang lama untuk berucap pada hari ini. Oleh itu, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan majlis pada petang ini dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan Majlis APC dan Majlis Berbuka Puasa pada hari ini.
(PROGRAM VAKSINASI COVID-19)
20. Akhir kata, saya ingin menyeru semua warga KeTSA untuk mendaftar diri anda semua sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera. Vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti. Dengan adanya program vaksinasi ini diharapkan ia dapat membasmi pandemik COVID-19 dan seterusnya membolehkan kita semua kembali kepada norma kehidupan yang lebih kondusif dan sejahtera. Bersama-samalah kita berdoa agar pandemik ini cepat berakhir dan kita semua dilindungi daripada kemudaratan dan diberikan keamanan dan kesejahteraan yang berkekalan. Lindung Diri, Lindung Semua. In Shaa Allah.
YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
#JPSM #rumahtiang16 #parlimenlenggong #lenggong #jupem